Staf Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau bersama Jonathan(tiga kiri) ketika menggadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Ranau.
RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyifatkan budaya kunjung mengunjungi ketika sambutan sesuatu perayaan amat positif dan wajar diteruskan.
Menurutnya, kunjung mengunjungi antara satu sama lain mampu mengeratkan dan memperkukuhkan ikatan silaturahim serta persaudaraan sekaligus memantapkan keharmonian dikalangan masyarakat pelbagai lapisan di daerah ini,” jelas Jonathan ketika ditemui semasa mengujungi beberapa rumah terbuka Hari Raya, di sini pada Rabu..
Jonathan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pilihan Khas (JKPK) Malaysia, mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada seluruh rakyat di kawasan Parlimen Ranau yang merayakannya.
“Sebagai rakyat Malaysia keseluruhannya perlu bersatu padu membudayakan keharmonian berterusan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan pembangunan untuk dimanfaatkan rakyat”, tambah Jonathan sambil menegaskan Pejabat Parlimen Ranau akan berusaha membantu lapisan masyarakat mengikut keutamaan dan keperluan mendesak.
“Memandangkan peruntukan Parlimen adalah terhad, maka kita kena bahagi-bahagikan peruntukan kewangan mengikut keutamaan projek yang benar-benar mendesak untuk rakyat”, tambahnya.
Ramai tuan rumah yang mengadakan majlis rumah terbuka sempena adidilfitri yang sempat ditemui merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Jonathan yang turut diiringi beberapa orang Staf Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
“Kunjungan lapisan masyarakat termasuk para pemimpin adalah suatu yang baik mampu merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin kesayangan mereka”, jelas Haji Roslan Bin Daiman yang mengadakan majlis rumah terbuka keluarganya di Red Tierra Homestay dan Cafe Ranau.