GAMBAR: Individu bersama kenderaan yang penuh dengan muatan sampah didapati membuang sampah di salah satu tong milik MDR di pekan Ranau semalam seterusnya dikenakan kompaun oleh penguatkuasa MDR.
RANAU: Majlis Daerah Ranau (MDR) telah mengeluarkan kompaun ke atas individu yang didapati membuang dan melonggokan sampah persendirian di tong sampah dalam kawasan pekan, di sini, semalam.
Pegawai Eksekutif MDR, Jupirin Haji Ruhimin, berkata individu terbabit telah dikompaun sebanyak RM100 oleh Penguatkuasa MDR dalam operasi itu.
Menurutnya, individu terbabit didapati membuang dan melonggokan sampah dipercayai dari rumahnya ke dalam tong sampah yang disediakan khas untuk kemudahan kepada pembayar cukai di kawasan kedai (pekan) sahaja.
“Kompaun yang dikenakan sesuai dengan peruntukan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) Seragam 2010. Kompaun kesalahan dari RM30 (maksima) hingga RM500 (maksimum).
“Bagi kesalahan yang berulang, nilai kompaun maksimum RM500, katanya ketika ditemui media, hari ini.
Katanya lagi, hasil tinjauan mendapati 90 peratus sampah yang dibuang di tong-tong sampah milik MDR di pekan datangnya dari kampung diluar kawasan operasi atau kawalan MDR.

“MDR mendapati sampah dilonggokan di luar tong yang telah penuh, menyebabkan plastik atau kotak sampah berisi sisa makanan dibongkar sekumpulan anjing liar.
“Akibatnya, sampah berselerak dan mengundang pencemaran bau busuk sekali gus mencacatkan pemandangan kawasan pekan”, katanya.
Menurut beliau, bagi mengawal pembuangan serta longgokan sampah di kawasan pekan yang sudah sampai ke peringkat kritikal, MDR telah bertindak membuka tong berwarna kuning (roll) di kawasan yg telah disediakan sebelum ini.
“Tujuan tong sampah besar berwarna kuning itu disediakan, adalah sebagai kemudahan kepada pemilik premis atau pembayar cukai dalam kawasan pekan, sahaja, tetapi telah disalahgunakan sehingga berlaku longgokan dan sampah sarap bertaburan.
“Perbuatan penting diri dan tidak bertanggungjawab dengan menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan kepada pembayar cukai telah menimbulkan persepsi negatif orang ramai termasuk pengunjung yang mendakwa MDR tidak bertindak proaktif mengatasi longgokan sampah.
“Jika kemudahan tong sampah tersebut hanya digunakan oleh pemilik-pemilik premis perniagaan dalam kawasan pekan sahaja, longgokan sampah tidak atau jarang berlaku, ini kerana jadual atau masa untuk lori MDR mengangkut seterusnya menghantar sampah ke tapak pelupusan sudah tetapkan.
Tegas Jupirin, pihaknya akan melakukan operasi berterusan dalam usaha mengawal serta mengatasi pembuangan sampah di kawasan larangan sekitar pekan dengan mengadakan operasi cegah dari masa ke semasa secara bergilir-gilir.
“Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan bertugas shif”, kata Jupirin sambil menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu.
Dalam pada itu, Jupirin turut memberitahu, MDR kembali menggunakan sistem lama iaitu MDR sendiri akan mengutip atau mengambil sampah di setiap premis perniagaan di pekan.
“Tong sampah besar berwarna kuning tidak lagi disediakan di tempat-tempat tertentu seperti sebelum ini untuk sementara waktu. Ianya bertujuan mengawal seterusnya mengatasi penyalahgunaan tong sampah tersebut dalam kalangan orang awam yang bukan pembayar cukai dalam kawasan pekan Ranau,” jelasnya.
Tambahnya lagi, orang awam diserankan agar membuang sampah masing-masing terus ke pusat pelupusan di Tanah Merah.
“Usaha lain ialah mendapatkan perkhidmatan lori pengangkut sampah swasta disamping mengamalkan kitar semula.
.