Dr.Zaliha (tengah) bersama dif dif kehormat lain pada majlis Pra Pelancaran BFF 2025 di Komplek Sukan Laut.
LABUAN: Penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) 2025 yang akan diadakan di Komplek Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada Julai depan mampu merancakkan sosio ekonomi Labuan.
Demikian diberitahu oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ketika menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Borneo Flora Festival 2025 (BFF) di Komplek Sukan Laut di sini, baru baru ini.
Katanya, BFF yang akan berlangsung selama empat hari bermula 26 Julai depan berkonsepkan inpirasi daripada Royal Floria Putrajaya merupakan usaha berterusan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk mengangkat Labuan sebagai permata pelancongan tropika di kepulauan Borneo.
“Sebanyak 200,000 bunga dan tumbuhan tropika akan menghiasi lebih 20 taman bertema yang direka secara kreatif dan berwarna warni” katanya.
Jelasnya lagi, penganjuran BFF akan memberi nilai tambah kepada ekonomi yang luas dan membuka peluang perniagaan serta dapat menjana pendapatan melalui penglibatan pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Selain itu, katanya program yang akan dijadikan dwi tahunan dan ikon kepada kalendar pelancongan Labuan itu menyasarkan 50,000 pengunjung luar dan dalam negara.
“Saya meletakkan cabaran kepada Perbadanan Labuan dengan menyasarkan kehadiran pengunjung sehingga 50,000 sepanjang tempoh festival ini berlangsung dan sasaran ini memerlukan usaha bersungguh sungguh dan pengembelingan kerjasama daripada semua pihak”, katanya.
Dalam pada itu beliau yakin apabila sektor pelancongan digerakan secara menyeluruh, sektor lain seperti pengangkutan, perniaga kecil, hospitaliti serta industri kreatif akan turut berkembang.