ANAK MUDA…. Bashir (tengah) bersama anak anak muda yang hadir pada Pelancaran Pertubuhan Permotoran Dua Roda Labuan (PP2RL) di Kampung Sungai Buton pada Ahad.
LABUAN: Barisan Nasional (BN) Labuan akan mengadakan mesyuarat dengan PAS dan juga PBS Bahagian Labuan sebagai usaha memantapkan jentera parti dalam menghadapi PRN Sabah dan juga PRU ke 15.
Pengerusi BN Labuan yang baharu dilantik Datuk Bashir Alias berkata, BN Labuan telahpun mengadakan perbincangan bersama Muafakat Nasional (UMNO dan PAS) tentang perlunya mengadakan mesyuarat BN bagi membincangkan berkaitan PRN Sabah dan PRU ke 15.
“Mesyuarat mengenai PRN Sabah perlu kerana terdapat ramai pengundi Sabah yang menetap dan bekerja di Labuan,” katanya selepas merasmikan penubuhan Pertubuhan Permotoran Dua Roda Labuan (PP2RL) di Kg Sg Buton di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan yang lain, Bashir yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menjelaskan dalam mesyuarat Perhubungan UMNO Wilayah yang diadakan baru-baru itu telah sekali lagi mendasak pucuk pimpinan supaya kerusi Parlimen Labuan yang dimenangi oleh BN pada PRU yang lalu untuk ditandingi semula oleh calon dari (BN).
“Saya yakin pucuk pimpinan parti di peringkat pusat akan meletakkan calon dari BN untuk kerusi P.166 Labuan pada PRU ke 15 nanti” katanya.