LABUAN: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, bilangan pesakit bawah siasatan (PUI) COVID 19 yang dikuarantin di dua pusat kuarantin mula berkurangan.
Beliau berkata sehingga hari ini jumlah individu yang ditahan di pusat kuarantin Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP) seramai 43 individu, manakala di pusat kuarantin Giat Mara Labuan seramai 62 individu.
“Sebelum ini pusat kuarantin ILP Labuan menempatkan seramai 108 individu, manakala di Pusat Giat Mara lebih 70 individu|” katanya kepada media pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana, Wisma Perbadanan Labuan, pada Selasa.
MENURUN…..Dr Fary menunjukkan rajah penurunan individu yang ditahan di pusat kurantin ILP dan Giat Mara Labuan.
Dr Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, semua individu yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin adalah mengikut penilaian risiko yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan.
Sementara itu katanya, seramai 240 individu bukan warga negara yang datang dari ibu negara atau yang bekerja di sektor minyak dan gas turut dikuarantin selama 14 hari di beberapa buah hotel yang dijadikan sebagai pusat kuarantin.
“Semua individu yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin, hotel dan wad isolasi Hospital Labuan adalah mengikut penilaian risiko yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut iaitu feri penumpang dan bot laju dari sini ke tanah besar Sabah dan Sarawak dilanjutkan susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.
Bagaimanapun, jadual perjalanan feri kenderaan dan penumpang (Feri Ro-Ro) dari Labuan ke tanah besar Sabah menerusi Menumbok dikurangkan kepada satu perjalanan untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan- Menumbok-Labuan.
Menyentuh mengenai orang awam yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 3, beliau menjelaskan pihak polis tidak lagi akan mengeluarkan kompaun sebaliknya individu yang ingkar PKP akan terus ditahan dan dituduh di mahkamah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun atau denda tidak kurang daripada RM1,000.
“Selain itu pihak berkuasa juga akan tetap mengambil tindakan kepada individu yang telah memuat naik berita palsu walaupun memadam posting selepas tular” katanya.
TAMAT