Dr. Jeremiah (tengah)
KOTA KINABALU: Para petugas perubatan dan kesihatan diminta agar sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik dan profesional kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan yang wujud.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, ini selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi pemacu kewujudan masyarakat Malaysia yang maju.
“Penekanan juga hendaklah ditumpukan terhadap mutu kerja berpasukan agar ianya lebih efisien, efektif, proaktif, dinamik dan produktif.
“Sentiasa bersedia membantu dengan ikhlas dan bertanggungjawab serta komited untuk mencapai matlamat Kementerian dan negara.
“Hasrat murni Kerajaan ini perlu kita semat di dalam jiwa setiap individu, kerana setiap penjawat awam merupakan jentera utama kepada Kerajaan untuk menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, keberkesanan penjawat awam dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat mencerminkan keberkesanan kerajaan dalam menyelami jiwa rakyat.
“Itu tanggungjawab kita yang perlu dilaksanakan selagi kita bergelar penjawat awam. Kita harus bersama-sama dengan Kerajaan demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat,” jelas beliau.
James yang juga merupakan ADUN Sugut berkata demikian ketika merasmikan Konferens Borneo Emergency Medicine and Trauma Service (EMTS-CON) Solidarity Triumphant 2023 yang diadakan di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Khas, Dr. Jeremiah Daniel, selaku wakil.
“Tema konferens ialah Odyssey: Learn From The Past, Preparing for the Future iaitu ‘Belajar Dari Masa Lalu, Bersedia untuk Masa Depan’ adalah amat bersesuaian dengan pengisian aktiviti selama tiga hari ini.
“Terimakasih kerana melibatkan penceramah yang terpilih daripada komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai kepakaran berbeza dalam penjagaan kesihatan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan masing-masing.
“Kita mahu para peserta menimba ilmu daripada pengetahuan dan pengalaman para penceramah untuk melengkapkan diri dengan lebih baik bagi menghadapi sebarang cabaran yang menanti kamu nanti,” katanya.
Konferens Borneo Emergency Medicine And Trauma Service (EMTS) 2023 bermula dengan bengkel pra persidangan yang mempamerkan perkhidmatan kecemasan dari masa yang lalu dan yang terkini.
“Saya harap program ini menjadi platform yang mengukuhkan kerjasama, berkongsi minat terhadap perkhidmatan perubatan kecemasan dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk masyarakat.
“Semoga dengan komitmen dan kesungguhan semua pihak yang telah ditunjukkan selama ini menjadi dasar teguh bagi memastikan matlamat, visi dan misi Kementerian Kesihatan Malaysia tercapai,” kata beliau.
Tambah James, selaku Menteri yang bertanggungjawab mengenai kesihatan di negeri ini, beliau akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dalam apa juga usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi kesejahteraan rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan pada konferens ini dan berharap agar semua peserta dapat manfaat yang berguna daripada penganjuran konferens dan diharap ia dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun berikutnya supaya lebih ramai lagi anggota berpeluang menyertai konferens seumpama ini,” jelas beliau.