Berang gagal dapat teman hidup, penjawat awam belasah ejen cari jodoh

Berang gagal dapat teman hidup, penjawat awam belasah ejen cari jodoh

Imej tangkap layar daripada video tular yang menunjukkan seorang penjawat awam membelasah pegawai khidmat pelanggan wanita yang bertindak sebagai ejen cari jodoh dalam lif.

Gara-gara berang ditipu kerana tidak mendapat calon pasangan setelah membayar RM2,500 sebagai upah, seorang penjawat awam bertindak membelasah pegawai khidmat pelanggan wanita yang bertindak sebagai ejen cari jodoh.

Rakaman video kejadian berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan ‘aksi’ itu turut tular di media sosial sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa lalu, suspek yang berusia 35 tahun itu pergi ke pejabat mangsa di Jalan 2, Chan Sow Lin, di sini sebelum membawa wanita itu masuk ke dalam lif untuk turun.

“Berdasarkan rakaman itu, ketika di dalam lif, suspek memukul pengadu berkali-kali  dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.

“Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala kini ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Berdasarkan siasatan awal, Muhammad Idzam berkata, polis mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pengadu dan suspek.

Suspek telah membayar sebanyak RM2,500 sebagai upah untuk mencari teman hidup di laman mencari jodoh, namun, selama tempoh enam bulan, tiada sebarang calon yang dicari agensi itu.

Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Beliau memberitahu, polis telah mengenalpasti suspek dan dia akan dipanggil untuk memberi keterangan.

-Awani