JUARA… pasukan Benua FT bersama hadiah yang dimenangi.
LABUAN: Pasukan Bola Sepak Benua FT dari Tenom Sabah muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 sebelah Piala Sailion 2023 selepas menewaskan pasukan DM Youth dari Lawas Sarawak pada aksi final kejohanan itu yang berlangsung di padang Dataran Labuan, malam tadi (Ahad).
Pasukan Benua FT berjaya menewaskan DM Youth dengan jaringan 1-0 sekaligus membolehkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan medal.
Pasukan DM Youth yang terpaksa berpuas hati untuk bergelar naib johan menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan medal.
PENJARING TERBAIK…. Herman menerima hadiah kasut emas yang disampaikan oleh Faizal sambil diperhatikan Sophian.
Tempat ketiga bersama di menangi oleh pasukan ST (Labuan) dan Pisgo FT dari Beaufort Sabah untuk berkongsi hadiah wang tunai RM1,500 dan medal.
Selain bergelar juara, pasukan Benua FT juga dinobatkan sebagai pasukan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
Sementara itu, pemain PISGO FT, Herman Tino Sukiman dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan empat jaringan.
Manakala pemain DM Youth, Rasnizam Mohammad dinobatkan sebagai Penjaga gol terbaik.
Penyampaian hadiah kepada pemenang masing-masing disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Labuan, Datuk Wira Dr. Ramli Tahir dan wakil dari Syarikat Sailion Sdn. Bhd, Eaizal Basiah.
Kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) dengan kerjasama Majlis Belia Labuan (MBL) dan Perbadanan Labuan serta LDA Holding Sdn. Bhd telah disertai oleh 31 pasukan melibatkan 8 pasukan dari Sabah, satu pasukan dai Sarawak dan selebihnya Labuan.
Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu, Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding Sdn. Bhd, Noor Halim Datuk Zaini, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Labuan Azman Sipan, Presiden LAFA, Sophian Said dan Naib II, Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Yusrie Mohd Daud.