Para peserta mengabdikan kenangan bersama selepas program tersebut dijalankan
TUARAN: Para penggiat seni muzik di kawasan ini telah berpeluang mengasah minat dan bakat mereka melalui sebuah program bengkel sehari yang dianjurkan di sini baru-baru ini.
Pada 9hb November 2024 yang lalu, Fortissimo Music Studio, Tuaran, Sabah telah menjadi tuan rumah kepada Bengkel Vokal & Nyanyian Lagu (Skop Etnik Sabahan & Antarabangsa) Siri 1.
Walaupun bilangan peserta yang menyertai bengkel ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, penganjur tetap komited untuk melaksanakan bengkel ini demi memberikan pengalaman yang berguna kepada semua yang hadir.
Bengkel ini dianjurkan oleh Sylviana Viana Saiki @ Vie, selaku Pengarah MV Event & Entertainment, dengan kerjasama Kelab Rekreasi Artis Sabah (KERAS), dibantu oleh Keiru Jumin (Coach KV).
Melalui program itu, para peserta diberikan peluang untuk mendalami teknik vokal serta seni nyanyian dan penjurian lagu dalam suasana yang inspiratif dan interaktif.
Rhowell Rolland Raymond Pagi, selaku tenaga pengajar dan founder serta pengetua di Fortissimo Music Studio, juga merupakan pensyarah Vokal Ensemble dan Koir di UITM Sabah, telah memberikan bimbingan yang mendalam kepada para peserta.
Bengkel sehari itu turut dihadiri oleh artis terkenal Sabah, Rey Kimara, yang menambah aura dan inspirasi kepada semua yang hadir.
Penganjur juga menyatakan bahawa Bengkel Vocal Master Class akan diadakan di Keningau pada 16hb dan 17hb November 2024.
Beliau mengharapkan dan mengalu-alukan peserta daripada bengkel siri 1 yang telah dijalankan di beberapa daerah sekitar Sabah untuk mengambil peluang menyertai Vokal Masterclass ini.
Ini, menurutnya, kerana yuran penyertaan adalah sangat berpatutan untuk segala kelebihan yang akan diperoleh oleh peserta.
Selain itu, Vie berhasrat untuk menganjurkan bengkel seumpama ini pada tahun akan datang, dan kini sedang mempertimbangkan lokasi bagi bengkel seterusnya, sama ada di Kota Marudu atau Kudat.
Dengan harapan untuk menarik lebih ramai peserta dan mempelbagaikan pengalaman muzik, penganjur percaya bahawa setiap bengkel akan menjadi platform yang berharga untuk penggiat seni di Sabah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang hadir, serta kepada pihakpihak yang menyokong penganjuran bengkel ini.
“Nantikan maklumat lanjut mengenai bengkel yang akan datang, dan bersama-sama kita terus menyemarakkan dunia seni vokal di negeri tercinta kita,” jelas beliau.