Vie, Rhowell dan para peserta bengkel Vocal Master Class dalam program itu
KENINGAU: Pada 16 dan 17 November 2024 yang lalu, bengkel Vocal Master Classtelah berjaya diadakan di Bilik Mesyuarat UTC, Keningau.
Bengkel ini dihadiri oleh pelbagai peserta yang bersemangat untuk meningkatkan kemahiran vokal mereka, termasuk penyanyi baru dan juga mereka yang ingin mengasah bakat sedia ada.
Beberapa artis tempatan murut juga dilihat mengikuti bengkel tersebut antaranya Sudin Kansut, Marcellus Jospeh, Joseph Justinus, Jinoh Hashim, Ikon @ Nazri Buwong, Albert Ten dan beberapa artis lain.
Bengkel ini telah menampilkan Rhowell Rolland Raymond Pagi, seorang penceramah jemputan yang diiktiraf dalam dunia muzik.
Dengan pengalaman luas di pentas nasional dan antarabangsa, Rhowell membawa satu pendekatan pembelajaran yang interaktif dan inspiratif kepada semua peserta.
Sesi ceramah praktikal yang dibawakan bukan sahaja bertumpu kepada teknik vokal tetapi juga meliputi aspek penyampaian, penghayatan, dan keperluan mental seorang penghibur.
Penganjur bengkel, Sylviana Viana Saiki, atau lebih dikenali sebagai Vie, merupakan pengarah urusan MV Event & Entertainment, setiausaha agung Kelab Rekreasi Artis Sabah, ahli jawatankuasa pembangunan Persatuan Artis Tempatan Sabah, ketua biro kebajikan Kelab Kupi- Kupi FM96.3 juga merupakan founder RUN-NOW Youth Club.
Beliau dikenali dengan dedikasi dan komitmennya dalam mempromosikan seni muzik, berusaha keras untuk memastikan bengkel ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya untuk membangunkan bakat di kalangan anak muda juga penggiat seni tempatan Sabah sedia ada.
Beliau dibantu oleh pasukan profesional yang berdedikasi, termasuk Keiru Jumin (Coach KV) sebagai timbalan pengerusi penganjur dan Ian Arthur Alfredchris selaku videographer dan photographer, yang berjaya merakam setiap momen berharga sepanjang bengkel berlangsung.
Bengkel ini diadakan berkolaborasi dengan Kelab Rekreasi Artis Sabah dan adalah penghujung program seni yang dianjurkan oleh Vie untuk tahun 2024.
Pada akhir bengkel, setiap peserta menerima sijil penyertaan yang menandakan penglibatan mereka dalam acara berprestij ini.
Sijil tersebut bukan sahaja menjadi bukti penyertaan, tetapi juga simbol harapan untuk berkembang dalam bidang seni.
Peserta bengkel menyatakan pengalaman yang luar biasa dan menggembirakan sepanjang mereka mengikuti bengkel Vokal Master Class.
Mereka berpeluang tidak hanya untuk belajar teknik vokal yang lebih dalam tetapi juga untuk berinteraksi dan berkolaborasi sesama peserta sepanjang bengkel diadakan.
Semangat positif yang ditunjukkan menjadi sumber inspirasi kepada semua yang terlibat.
Dalam pengumuman yang mengujakan, Vie mengumumkan perancangan untuk tahun hadapan, antaranya konsert amal yang akan berlangsung bagi bekas peserta bengkel Vokal dan Penjurian Lagu Siri 1 di Ranau, Kota Kinabalu, Keningau, dan Kota Belud.
Ini adalah satu platform yang luar biasa bagi peserta untuk mempamerkan bakat mereka di hadapan peminat dan industri muzik serta orang ramai.
Artis-artis tersohor tempatan yang akan diumumkan oleh Vie kemudian (sebelum konsert amal diadakan) juga dijadualkan untuk turut serta, menjadikan konsert tersebut satu acara yang pastinya dinantikan oleh semua orang.
Vie menggalakkan para peserta untuk mengambil bahagian dalam Klinik Vokal yang akan dikendalikan oleh Rhowell sebagai persiapan sebelum konsert amal yang akan datang.
Ini memberi mereka peluang berharga untuk melatih kemahiran vokal serta membina keyakinan sebelum tampil di pentas terutama sekali sebelum konsert amal tersebut berlangsung.
“Tapi ini semua dalam perancangan, kita doakan agar semuanya berjalan dengan lancar. Kerjasama daripada semua sangatlah diharapkan,” menurut Vie lagi.
Akhir kata, Vie ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua yang hadir serta meluangkan masa mengikuti bengkel Vocal Master Class ini.
Beliau menyatakan bahawa para peserta sangat beruntung kerana yuran yang dikenakan adalah sangat berpatutan.
Mereka telah menikmati dua hari penuh pengalaman yang tidak ternilai, di mana setiap peserta bukan sahaja memperoleh sijil penyertaan tetapi juga peluang untuk belajar dan bersosial, berkongsi idea sesama peserta dan penceramah jemputan juga dengan makan dan minum yang disediakan oleh penganjur.
Paling penting adalah pengalaman dan ilmu yang mereka perolehi.
Bengkel Vocal Master Class ini bukan hanya satu langkah untuk mengasah bakat, tetapi juga satu inisiatif penting dalam membina generasi seni yang lebih gemilang di masa hadapan.
Vie berharap dapat terus melahirkan lebih ramai bintang seni yang akan mengharumkan nama daerah masing- masing juga Sabah di persada seni tanah air dan antarabangsa.
Vie juga berharap untuk terus melahirkan lebih ramai bintang seni yang berkualiti dan mempunyai asas dan teknik vokal yang baik dan betul di masa hadapan.
Banyak yang mempunyai bakat dalam seni vokal tetapi tidak mempunyai pengetahuan teknik dan asas yang betul. Itulah tujuan bengkel Vocal Master Class ini diadakan.



