Gambar atas- Sebahagian peserta yang mengikuti bengkel secara dalam talian bersama para penceramah
KOTA KINABALU: Program Latihan untuk Jurulatih (TOT), anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), baru-baru ini merupakan panduan dan nilai tambah kepada para peserta sebagai fasilitator.
Ketua Bahagian Khidmat Nasihat Dan Bantuan Guaman, JHEWA, Puan Winnie Anggon, berkata program ini adalah kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini yang disifatkan berkesan memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Katanya, bagi memantapkan lagi modul yang sedia ada, pihak JHEWA telah berjaya menerbitkan Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK) Versi Sekolah Rendah pada tahun 2020 yang sarat dengan pengisian untuk kegunaan kelompok sasaran..

HADIR…Sebahagian lagi peserta yang mengikuti bengkel secara dalam talian (Aplikasi Zoom)
“Atas kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), pihak JHEWA berhasrat agar modul baharu ini mampu memberikan impak yang lebih besar terhadap usaha murni yang mereka perjuangkan selama ini.
“Umum mengetahui bahawa kanak-kanak tidak mempunyai pengetahuan asas dan juga mendalam mengenai perkahwinan.
“Namun atas desakan pihak keluarga, maka kanak-kanak ini dikahwinkan tanpa persetujuan dan juga dengan kerelaan hati orang tua mereka,” katanya kepada Borneo Daily Bulliten,

Winnie Anggon
Winnie yang juga penyelaras program menjelaskan, modul MIPK versi sekolah rendah ini merupakan salah satu usaha membendung isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak. Ini kerana katanya, pihak MPWS dan JHEWA berpendapat bahawa perkara ini perlu dikawal bermula dari akar umbi.
“Melalui modul ini, kanak-kanak dan juga ibu bapa serta masyarakat sekeliling diberikan pendedahan dan maklumat yang tepat mengapa isu dalam perkahwinan kanak-kanak sangat dititikberatkan oleh semua pihak yang berwajib,” jelas beliau.
Program dalam bentuk bengkel yang berlangsung selama 2 hari bermula 14 Oktober hingga 15 Oktober 2021 itu telah disertai seramai 25 peserta terdiri daripada Guru Bimbingan dan Kaunseling di negeri ini, menggunakan platform dalam talian(Aplikasi Zoom).

LAILAWATI….Penceramah bengkel
Menurutnya, program kali menggariskan dua objektif utama iaitu, memberikan panduan kepada fasilitator tentang cara mengendalikan sesi dan aktiviti dalam MIPK versi sekolah rendah.
“Manakala objektif kedua, memberikan panduan dan kemahiran kepada fasilitator dalam memahami psikologi, personaliti, perkahwinan, undang-undang, kehidupan berkeluarga, kesihatan reproduktif, bimbingan dan kaunseling.
“Objektif modul ini sangat penting kerana dapat memberi panduan kepada fasilitator iaitu kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling tentang cara mengendalikan sesi dan aktiviti dalam MIPK,” katanya.
Winnie juga berkata, hari pertama bengkel, sebanyak lima modul telah dibentangkan iaitu, Modul 1: Pengenalan Kepada Pelaksanaan Modul, disampikan oleh Puan Dayang Siti Rohani Sedan, Modul 2: Memahami Psikologi & Psikologi Perkembangan, dan Modul 3: Kenali Personaliti Diri, telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari.

SUZANNA PINY…Salah seorang lagi penceramah bengkel
Manakala Modul 4: Gaya Keibubapaan dan Modul 5: Perkahwinan Kanak-kanak dan Risiko Negatif Perkahwinan, masing-masing telah disampaikan oleh Dr. Lailawati Madlan @ Endalan, dan Encik Ednan Muyong.
“Tga lagi modul telah dibentangkan pada hari kedua bengkel, antaranya, Pendidikan dan Perkembangan Kesihatan Kanak-kanak, disampaikan oleh Puan Suzanna Piny, Perspektif Undang-undang Terhadap Perkahwinan Kanak-kanak, oleh Puan Noor Azah Abd Rahman.
“Manakala modul terakhir bertajuk Program Bimbingan & Kaunseling telah disampai oleh Dr. Hajah Ananglangka Mad Kassim. Turut diadakan ialah sesi interaktif sebelum majlis penutupan,” tambah Winnie ▪︎