JUARA… Benedik bersama piala rebutan yang dimenanginya.
LABUAN: Benedik Bakri Awang muncul juara kategori gross kejohanan golf Merdeka Trophy 2022 anjuran bersama Labuan International Golf Club (LIGC) dan Perbadanan Labua yang diadakan di padang LIGC, dekat sini, pada Sabtu.
Benedik yang mencatatkan 78 pukulan menerima sebuah piala kejohanan, piala pusingan dan wang tunai RM800.
Naib juara kategori gross dimenangi oleh Shamlin Tuali dengan mencatatkan 78 pukulan menerima hadiah wang tunai RM600 dan tempat ketiga dimenangi Mohd Zariq Encho selepas mencatatkan 79 pukulan untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan tempat keempat dimenangi oleh Idris Mohamad dengan 81 pukulan untuk menerima hadiah wang tunai RM400.
Sementara itu, Amin Salleh menjuarai kategori Nett selepas mencatat 69 pukulan untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM600, naib johan disandang oleh Mej. Hafifi Abdullah dengan catatan 70 pukulan untuk menerima RM500.
Tempat ketiga kategori Nett dimenangi oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk menerima hadiah wang tunai RM400 dan tempat ke empat dimenangi oleh Tracy Yong yang membuat 71 pukulan sekaligus menerima hadiah wang tunai RM300.
Kejohanan yang menyediakan hadiah sebuah kereta dan wang tunai RM10,000 untuk pemenang yang dapat membuat satu pukulan masuk terus (hole in One) di par 3 itu telah disertai lebih 100 pemain dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Negara Brunei Darussalam.
Turut menyertai kejohanan sehari itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Presiden Kelab Golf Labuan (LGC), Datuk Gapilin Nasaruddin dan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Datuk Wong Kee Yii.

1PESERTA VIP….. Datuk Bashir (dua kanan) bersama Haji Rithuan (kanan sekali), Datuk Hung How Kiong dan Datuk Wong Kee Yii antara peserta VIP yang menyertai kejohanan Merdeka Trophy 2022.