KENANGAN….Puan Georgina (tengah) bergambar bersama jwatankuasa penganjur dan sebahagian pasukan yang mangambil bahagian.
RANAU: Pertandingan Penalty Challenge anjuran Pemuda UPKO Ranau yang berlangsung di Padang Kampung Sinarut Baru, di sini pada Sabtu, berjaya menghimpunkan lebih 10 pasukan belia sekali gus menyemarakkan suasana perpaduan masyarakat melalui sukan.
Acara sehari itu mendapat sambutan menggalakan apabila 11 pasukan turun berentap dalam format lima pemain sepasukan, antaranya Independent Team, Lowed FC, Matra FC, Liwagu FC, Sagira FC, Pemuda UPKO, Sinarut Lagend, JKKK Team, RS Team dan Sarayo VT.
Pengerusi Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau (PRIHATIN RANAU), Puan Georgina George yang turut hadir merasmikan pertandingan, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai wadah penting menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sihat serta menjauhkan mereka daripada gejala negatif.
“Program seumpama ini bukan sekadar mencungkil bakat baharu dalam bola sepak, malah menjadi jambatan untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan masyarakat setempat,” katanya yang juga Ketua UPKO Bahagian Ranau.
Turut sama memberi sokongan Ketua Pemuda UPKO Ranau, En. Leester Dalimon bersama pimpinan parti, belia dan penduduk kampung.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Amirul Azril Zulkifli berkata pihaknya berharap pertandingan tersebut dapat dijadikan acara tahunan demi melahirkan lebih ramai bakat muda bola sepak dari Ranau.



