BERAMAH MESRA ..Kong bersama Exco Wiramuda Star Bahagian Tawau pada Sabtu.
TAWAU: Belia disaran agar terus cekal berusaha dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini yang memerlukan seseorang individu berkerja lebih gigih serta membuang rasa malu untuk mencuba sesuatu bidang pekerjaan.
Menegaskan perkara itu, Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, dalam mendepani cabaran ekonomi yang kian mencabar masa kini, sifat memilih pekerjaan tidak releven lagi ditanam dalam minda para belia sebaliknya terus gigih berusaha dan berkerja dalam apa juga sektor yang boleh menjana pendapatan.
“Jika kita mengusahakan perniagaan dengan memungut besi-besi buruk serta bahan logam sekalipun, janganlah berasa malu kerana usaha seumpama itu akan membuahkan hasil yang lumayan sekiranya dilakukan dengan tekun”. Jelasnya.
Kong turut berharap akan lebih ramai belia menceburi kursus-kursus berteraskan kimpalan, elektronik dan mekanikal kerana kesemua bidang itu mempunyai pasaran kerjaya yang luas.
Katanya, terdapat banyak syarikat besar seperti Petronas, Shell dan syarikat perkapalan yang membuka ruang pekerjaan jika seseorang belia itu memiliki sijil berkaitan ketiga-tiga bidang tersebut.
Kemahiran kimpalan boleh menjana pendapatan lumayan dalam pasaran kerja.
“Umpamanya jika seseorang belia itu memiliki sijil kimpalan yang mempunyai kelas atau gred melayakkannya kepada bidang kimpalan dasar laut, sudah tentu dia boleh berkerja di pelantar-pelantar pinyak seperti syarikat Petronas atau Shell yang menawarkan gaji lumayan”. Tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas ketika melawat dan beramah mesra dengan Exco Wiramuda Star Bahagian Tawau pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kong turut berharap agar golongan belia menjadi penyumbang idea bernas kepada kerajaan semasa untuk mempastikan misi dan visi Sabah Maju Jaya terus tercapai.
Jelasnya, golongan belia tidak seharusnya lantang dalam kritikan negatif sebaliknya menjadi pemudah cara dengan sumbangan idea mereka untuk menjadikan kemajuan negeri Sabah terus meningkat.