Kong membuat lawatan ke salah satu petak kolam ikan hiasan dari spesis Arowana Malaysia Gold yang terdapat di ladang tersebut.
KOTA KINABALU: Para belia yang tercicir dari pendidikan digalakkan mengambil peluang untuk menceburi bidang ternakan ikan hiasan yang mampu menjana pendapatan lumayan.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan (Ko-Nelayan) Sabah, Kong Soon Choi berkata, peluang mempelajari teknik penternakan ikan hiasan ada disediakan oleh pihaknya yang terletak di Kg.Kaiduan, Papar.
Katanya, Pusat Ikan Hiasan Ko-Nelayan (PIHS) merupakan ladang terbesar di negeri Sabah yang lengkap dengan tenaga pengajar mahir mengenai teknik penjagaan dan penternakan ikan hiasan.
“Ladang ini merupakan milik penuh Ko-Nelayan seluas 7.6 ekar untuk menaikkan industri ikan hiasan di Sabah. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 10 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12 bagi membangunkan ladang tersebut”. Jelasnya ketika membuat lawatan kerja ke ladang tersebut pada Khamis lepas.
Justeru katanya, para belia diseru merebut peluang ini kerana pasaran ikan hiasan bukan sahaja tertumpu di dalam negara bahkan luar negara seperti China, Jepun,Taiwan, Germany dan Canada.
Kong yang juga merupakan Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah) menjelaskan, antara ikan hiasan yang dikeluarkan oleh PIHS adalah dari spesis Arowana Malaysia Gold dan mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia selain negara China.
“Bayangkan di negara China sahaja, spesis ini mendapat permintaan sehingga 10,000 ekor sebulan. Ini sesuatu yang amat baik kepada para belia untuk menjadi usahawan ikan hiasan”. Katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan Ko-Nelayan akan berkerjasama dengan Dream Fish Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat tunggal pengeluar Arowana bagi menjadikan spesis ini salah satu sumber pendapatan negeri Sabah.
Tambahnya, selain spesis Arowana Malaysia Gold, para belia juga boleh mendapat bimbingan menternak ikan kaloi Sabah di Pusat Ikan Hiasan tersebut.
“Saya berharap dengan adanya penyertaan para belia dan pengusaha ikan hiasan di negeri ini, Sabah mampu menjadi negeri pengeluar utama ikan hiasan yang terbesar di negara ini”. Tegasnya.
Turut serta dalam lawatan itu adalah Cabrini Chia, Timbalan Pengurus Besar Ko-Nelayan Sabah, Mohd. Shah Hime bin Awang, Ketua Pusat Ikan Hiasan Ko Nelayan Sabah (PIHS), Angus Wong, Pengurus Dream Fish Sdn Bhd serta beberapa pegawai kanan lain.