Arthur….Tiada yang ketinggalan.
KOTA KINABALU:Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera yang menfokuskan pada 3M iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Ini selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia dan Rancangan Malaysia Kedua Belas, Bajet 2022 adalah cerminan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara yang meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai asas penting seaumpama menjaga sebuah keluarga.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pembangunan sosio ekonomi negara terus menjadi fokus utama termasuk di Sabah bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.
“Melihat daripada aspek Kebajikan, langkah Kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (atau BKM) dengan RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan akan meringankan beban Keluarga Malaysia di luar bandar terutamanya di kawasan pendalaman Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19“ katanya mengulas Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.
Arthur yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan berkata, keutamaan Kerajaan dalam pembangunan infrastruktur di kawasan Luar Bandar seperti di kawasan pendalaman Sabah akan menjadi pemacu perubahan kepada ekonomi dan sosio di kawasan tersebut.
Katanya, sebanyak RM5.2 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan Sabah antaranya pembinaan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif serta lain-lain infrastruktur akan menjadi pemangkin kepada asas kemudahan yang kukuh untuk Keluarga Malaysia di Sabah.
Selain itu katanya, langkah Kerajaan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am termasuk di Pagalungan, Sabah adalah langkah yang sangat tepat bagi memperkukuh kedaulatan negara memandangkan pembangunan yang semakin pesat di Kalimantan, Indonesia.
“Ini bagi memastikan aspek keselamatan negara terutamanya keselamatan masyarakat setempat sentiasa diberikan perhatian khusus” jelasnya.
Manakala katanya, dari aspek pembangunan ekonomi, langkah Kerajaan untuk terus melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana bernilai RM2.9 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 ke G4 di seluruh negara akan dapat membantu merancakan semula pertumbuhan ekonomi negaradisamping menyokong kitaran ekonomi peniaga-peniaga kecil yang terlibat dalam sektor pembinaan.
Beliau berkata, sesungguhnya Bajet 2022 merupakan satu langkah inklusif yang diambil Kerajaan dengan meletakkan asas ‘tiada yang ketinggalan’ dalam aspek pembangunan jangka masa pendek negara.
“Saya yakin intipati Bajet 2022 akan dapat merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran bagi memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia” ujarnya.
Beliau juga percaya seluruh Keluarga Malaysia baik di bandar, luar bandar mahupun pendalaman tanpa mengira latar belakang pendidikan, agama, bangsa ataupun parti politik akan menyambut baik inisiatif-inisiatif yang terangkum dalam Bajet 2022.