ISNIN… (duduk tengah) bersama Ghani (dua dari kanan), Arthur (dua dari kiri), Peter (kiri) dan Jaiping (kanan) bergambar dengan Ahli-Ahli Majlis Daerah Nabawan.
NABAWAN : Pemimpin yang diangkat seharusnya bekerja secara berpasukan dan merancang pembangunan serta ekonomi untuk mencapai kejayaan
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Hj. Aliasnih, berkata tugas yang digalas bukanlah mudah tetapi memerlukan kerjasama erat dan padu yang didukung oleh sikap toleransi dan proaktif.
“Pelantikan pemimpin adat sangat relevan dengan keperluan rakyat saat ini yang mempunyai peranan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dan menyelesaikan keperluan terutama urusan adat perkanwinan dan majlis-majlis keramaian dengan sikap telus dan dihormati” katanya.
Seseorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar, disukai dan dihormati rakyat dibawah pimpinannya, berketrampilan dan dapat menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Angkat Sumpah, Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Nabawan Sesi 2020-2022 dan Majlis Penyampaian Pelantilan Pemimpin Adat Daerah Nabawan di Bilik Mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan Nabawan di sini pada Jumaat.
Mengenai pelantikan Ahli Majlis Daerah (AMD) beliau berkata, peranan AMD adalah memastikan bandar atau pekan sentiasa indah dan bersih.
“AMD berperanan mengindahkan dan mencantikkan kawasan bandar atau pekan, pastikan sampah tidak bertaburan dan rumput tidak panjang agar kelihatannya cantik. Jangan sesekali menganiaya pelanggan kita yang berniaga di kawasan pekan tetapi sebaliknya kena runding dan urus masalah mereka dengan sebaiknya terutamanya ketika keadaan ekonomi merundum” jelasnya.
Seramai 17 daripada 18 Ahli Majlis Daerah Nabawan mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan ada majlis itu.
Sementara lima Ketua Ketua Anak Negeri dan 14 Wakil Ketua Anak Negeri turut menerima watikah pelantikan

ISNIN (kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang Ahli Majlis Daerah Nabawan.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, seseorang pemimpin yang dilantik seharusnya berkhidmat sebagai satu jentera yang dinamik dan proaktif.
“Sebagai pemimpin haruslah bekerja sebagai satu pasukan untuk membawa kepada sesuatu perubahan yang terbaik untuk mencapai misi mahupun visi” katanya.
Katanya, selain bersikap jujur, telus dan dispilin dalam berkhidmat, sebagai pemimpin harusah bersikap prihatin kepada rakyat, bertolak ansur dan sentiasa peka terhadap isu atau masalah masyarakat setempat.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Merangkap Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup, Pegawai Daerah Nabawan Peter Jonu Moinjil dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Nabawan Jaiping Minsu. Tamat/-