BASHIR (duduk lima dari kanan), Mazlan (duduk empat dari kanan) bersama bekas pelajar SM Vokasional 1983-1984 yang hadir pada malam tersebut.
LABUAN: Kenangan pahit dan manis zaman sekolah berjaya diimbau semula oleh Pengerusi Alumni kumpulan pertama pelajar SM Vokasional Labuan, Mazlan Datuk Mohd Din bersama hampir 100 rakan sekolahnya apabila mereka berkumpul pada Malam Alumni Mega Reunion SM Vokasional 1983-1984 yang diadakan di Hotel Pump Beach and Spa Manikar Resort, dekat sini, pada Sabtu.
Malam Alumni Mega Reunion SM Vokasional yang bertemakan “Merah Hitam” adalah perjumpaan yang pertama kali selepas hampir 40 tahun meninggalkan sekolah tersebut.
Mazlan ketika berucap pada majlis itu bukan sahaja mengimbau kembali kenangan pahit manis mengenai gelagat beliau dan rakan-rakannya yang nakal ketika menjadi pelajar pertama di SM Vokasional tetapi juga bersyukur kerana mereka telah berjaya dalam bidang masing-masing sehingga ada yang bergelar usahawan, pekerja berkamahiran tinggi dan juga yang bergelar ahli korporat yang disegani.
“Kami adalah pelajar pertama yang menjadi perintis di SM Vokasional tahun 1983-1984 dan memang banyak kenangan manis yang telah kami tinggalkan di sekolah ini, namun hari ini selepas hampir 40 tahun tidak bertemu mereka adalah rakan-rakan saya yang telah berjaya membina kerjaya yang membanggakan… ada yang telah menjadi usahawan, ahli korporat, malah ada yang bekerja di syarikat minyak dan gas dan sebagainya” katanya.
CENDERAHATI… Mazlan menyampaikan cenderahati kepada Bashir (dua dari kiri) sempena Malam Alumni Mega Reunion SM Vokasional di Hotel Pump Beach and Spa Manikar Resort, pada Sabtu.
Hadir sama pada malam itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi tetamu kehormat serta guru yang pernah medidik mereka, Cikgu Rajab Matussin.
Bashir ketika berucap pada malam itu, menzahirkan rasa syukur kerana sebahagian besar bekas pelajar tahun 1983-1984 bukan sahaja dapat berkumpul semula tetapi juga dapat mengeratkan kembali hubungan silaturahim diantara satu sama lain.
“Dengan adanya program seperti ini sudah semestinya akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim bah kan inilah peluang untuk kita bersua kembali setelah sekian lama tidak bertemu” katanya.
Terdahulu sebelum itu, bekas pelajar yang juga perintis pertama SM Vokasional itu telah mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan yang kini telah dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional Labuan (KVL).
Lawatan yang diketuai oleh Mazlan Datuk Din itu disambut mesra oleh Pengarah KVL, Siti Muslihah Leeudin bersama warga pendidik KVL yang lain.