KENANGAN…Hajiji (tengah, depan) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima biasiswa cemerlang.
KOTA KINABALU: Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan yang telah dicapai oleh pelajar di negeri ini.
Sambil menyifatkan majlis hari ini begitu istimewa, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berharap pelajar-pelajar akan berusaha lebih gigih untuk mendapat kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Menurutnya, penganugerahan BCNS itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang mampu bersaing di persada global.
“Kumpulan Yayasan Sabah telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak tahun 1990. Sehingga kini, seramai 755 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta telah dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.
“Secara keseluruhannya, sejak tahun 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang mana telah memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.
“Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah MUIS,” katanya sempena Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pelaksanaan Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak tahun 2022 adalah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di mana biasiswa ini diberikan untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak Negeri Sabah.
“Sejak tahun 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM1.04 juta telah dibelanjakan.
“Sementara itu, Anugerah MUIS yang bermula sejak tahun 2020 telah memberi manfaat kepada 50 pelajar sehingga tahun lalu,” jelas beliau.
Ujar Hajiji, kerajaan negeri pada tahun 2023 telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta, dengan seramai 7,304 pelajar telah menerima penajaan bagi meneruskan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong dan komited dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai pembiayaan pendidikan antaranya tajaan biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat serta pinjaman pendidikan, di negeri ini.
“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan juga adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada arus pendidikan sekali dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri ini,” ujar beliau.
Antara yang hadir ialah Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Zainudin Aman
–Penerangan–