Bashir Alias
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias optimis projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah di Menumbok akan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, kabinet telahpun bersetuju untuk melaksanakan pembinaan jambatan tersebut secara pembiayaan syarikat swasta (PFI) sepertimana yang disuarakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Walaupun katanya, ada suara suara sumbang daripada kalangan rakyat Labuan sendiri yang mempertikaikan cadangan pembinaan itu hanyalah gimik politik setiap kali menjelang musim PRU.
“Namun saya tetap optimis ini bukan lagi gimik politik daripada kerajaan tetapi ia adalah tekad dan cita-cita menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang bersungguh sungguh untuk merealisasikan pembinaan jambatan yang telah didambakan oleh rakyat Labuan sejak sekian lama” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara pada Isnin.
Dalam perbahasan itu beliau turut menegaskan supaya syarikat tempatan dilibatkan kerja kerja pembinaan termasuk dalam memuktamadkan terma-terma rujukan untuk melaksanakan proses permohonan dan cadangan (RFP).
Bashir yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, projek yang telah diluluskan zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tetapi telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan harus dipertimbangkan semula kerana ini adalah projek yang melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat.
Selain daripada isu pembinaan jambatan, Bashir juga mahu kerajaan segera menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama yang telah menjejaskan lebih 80 peratus aktiviti harian penduduk serta kegiatan ekonomi Labuan.
Beliau berkata keadaan itu berlaku hampir sepanjang tahun dan antara puncanya ialah keadaan paip yang terlalu usang dan sering pecah perlu diganti dengan paip baharu.
“Kegagalan mengatasi isu ini boleh menjejaskan dan membantutkan pelabur untuk menanam modal di Labuan.
“Saya berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dapat meluluskan peruntukan yang secukupnya pada tahun depan untuk mengatasi segera masalah gangguan sistem bekalan air ini,” katanya.