TAHNIAH…. Mohammad Hamdan (tengah) bergambar kenangan bersama Bashir (kiri) dan Dr Fary yang menerima anugerah pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba dan Penolong Pesuruhjaya Bomba Malaysia.
LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi penghargaan kepada dua pemimpin di pulau ini dengan penganugerahan tanda pangkat kehormat kepada Ahli Dewan Negara Datuk Bashir Alias dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman.
Majlis penganugerahan dengan pemakaian tanda pangkat Kehormat itu disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Seri Mohammad Hamdan Wahid dalam satu majlis penuh istiadat di salah sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menerima pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Malaysia, manakala Dr Fary Akmal Osman yang baharu sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dianugerahkan Pangkat Kehormat Penolong Pesuruhjaya Bomba Malaysia.

PEMAIKAIAN…. Mohammad memakaikan tanda pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Malaysia kepada Bashir.
Penganugerahan yang julung kalinya diadakan di pulau ini dilakukan sebagai menghargai komitmen individu berkenaan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, dan hebat serta mencurahkan khidmat jasa bakti dalam apa juga lapangan terutamanya dalam hal kebombaan dan penyelamatan.
Hadir sama pada majlis bersejarah itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail serta beberapa pegawai kanan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan.