Arifin (kanan) melawat reruai yang mempamerkan kreativiti setiap gereja menghias pokok Krismas
MEMBAKUT: Bantuan tahunan RM15,000 akan disalurkan kepada Majlis Gereja-gereja Membakut (MGGM) mulai Januari depan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, bantuan tambahan tersebut bertujuan untuk menyokong dan melaksanakan aktiviti gereja oleh kepimpinan dan penggerak gereja di kawasan berkenaan.
“Kita berikan sedikit sumbangan untuk mereka lebih kurang RM60,000 di samping pengumuman saya tadi RM15,000 lagi jadi semuanya hampir RM100,000.
“Kita bagi kepada semua penggerak, ahli-ahlinya untuk kegiatan mereka.
“Akan datang kita akan khususkan setiap gereja kita akan berikan peruntukan khas untuk kegiatan mereka di tempat masing-masing,” katanya dalam Program Ambang Krismas Peringkat DUN Membakut di sini, pada Jumaat.
Ketika ditemui media Arifin memaklumkan, beliau komited untuk menyampaikan permohonan terhadap peruntukan yang disediakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kepada badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan persendirian pada tahun 2025.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana dapat melaksanakan program kali keempat ini. Tetapi, sebelum ini memang banyak sudah dilaksanakan setiap tahun cuma tidak sebesar seumpama ini.
“Saya berkesempatan untuk berkomunikasi dengan pimpinan-pimpinan dan semua penggerak gereja. Apa yang penting kita dapat memberi sedikit sumbangan untuk mereka melaksanakan Hari Krismas pada tahun ini.
“Saya juga akan membantu mereka untuk menyampaikan permohonan sekiranya ada daripada peruntukan yang ada yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri.
“Tahun ini lebih meningkat lagi, kalau tak silap RM70 juta, sekurang-kurangnya kawasan Membakut mendapat peruntukan berkenaan untuk membantu gereja dan sekolah-sekolah mubaligh di kawasan ini,” ujarnya.
Pada program itu, beliau yang diiringi Pegawai Daerah, Ibrahim Terki turut menyerahkan sumbangan RM21,000 kepada 18 gereja diikuti sumbangan kepada pemimpin gereja (RM 16,000) dan sumbangan anak yatim yang meraikan Krismas (RM8,100).
Selain itu, Arifin menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pokok Krismas 2024 yang dirai BCCM Kg Bawan (johan), Calvary Charismatic Pekan Membakut (naib johan) dan Gereja SDA Lumat (ketiga).
Dalam program berasingan, Arifin menyantuni 52 orang anak-anak yatim yang merayakan perayaan Krismas di salah sebuah pasaraya di Beaufort.
“Ini adalah tradisi kita sejak lima tahun yang lalu, kita bawa mereka shopping untuk mereka memilih pakaian untuk Krismas.
“Semoga mereka akan bergembira menjelang Krismas dengan pakaian-pakaian pilihan mereka dalam meraikan Hari Krismas.
“Mudah-mudahan anak-anak ini akan membesar yang sangat penting, saya memberikan perhatian kepada mereka dari sudut pendidikan mereka,” jelas beliau.
Hajiji dalam teks ucapannya pada Khamis mengumumkan, kerajaan Sabah memperuntukkan RM70 juta bagi membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.-Penerangan-