32 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Bantu jayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah, 4 Pusat Produk IKS bakal dibuka tahun ini: Ketua Menteri

GIMIK PERASMIAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam (kiri) dan kenamaan lain.

RANAU: Kerajaan akan membuka empat lagi Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau Pusat Produk IKS pada tahun ini, bagi membantu mempromosi serta menjual produk keluaran tempatan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata empat Pusat Produk IKS itu akan dibuka di Tawau, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran manakala satu lagi pusat yang sama di Papar kini sedang dibangunkan dan dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat ini.

“Pembukaan empat Pusat Produk IKS ini adalah antara dua inisiatif yang diambil kerajaan bagi membantu usahawan IKS mempromosi dan menjual barangan keluaran mereka.

“Dalam Belanjawan 2022, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan bagi menubuhkan empat (4) lagi Pusat Produk IKS pada tahun ini.

“Saya berharap pembukaan lebih banyak Pusat Produk IKS ini akan membantu menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah sekali gus memberi impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan,” katanya ketika merasmikan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah di Kiaburi Plaza, di sini pagi tadi.

Buat masa ini, tiga Pusat Produk IKS sudah beroperasi iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu dan di Beaufort serta terbaharu di daerah ini.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Pusat Produk IKS di Kiaburi, Ranau

Mengulas lanjut Hajiji berkata, satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pemasaran Produk IKS Sabah di pasaraya tempatan di negeri ini, yang mana DIDR bekerjasama dengan Pasaraya Bataras memasarkan produk keluaran Sabah ke seluruh cawangan pasar raya berkenaan.

“Selain di Bataras, produk IKS juga dipasarkan di seluruh Kedai Mesra di Sabah dan Labuan dengan berkolaborasi bersama PETRONAS Dagangan Bhd, khususnya produk makanan. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu usahawan IKS yang terjejas akibat pandemik COVID19,” katanya.

Beliau berkata, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini adalah salah satu inisiatif yang disenaraikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya bagi tahun 2021.

“Syabas saya ucapkan kepada MID dan agensi di bawahnya kerana telah berjaya melaksanakan satu lagi inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya pada tahun 2021 dengan jayanya,” katanya.

Hajiji berkata penganjuran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini tepat pada masanya bagi membantu merancakkan semula ekonomi domestik dan membantu usahawan IKS mempromosikan barangan buatan tempatan Sabah.

“Saya berharap kempen ini menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap usahawan dan peniaga di Sabah tidak hanya memfokuskan perniagaan mereka dalam pasaran tempatan sahaja, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform e-dagang yang kini menjadi pilihan ramai.

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital secara meluas. Saya yakin barangan buatan Sabah mempunyai potensi dan kualiti untuk bersaing dengan produk dari luar negara,” katanya sambil berharap 12 syarikat dari Sabah yang menyertai World Dubai Expo 2020 pada Disember lalu, dapat menyebarluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

Hajiji (kanan) ketika melawat gerai-gerai produk tempatan di perkarangan Plaza Kiaburi, Ranau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan komitmen dan terus berganding bahu dengan Usahawan IKS bagi memastikan sektor pembuatan kekal beroperasi dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Katanya, dalam memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang terpilih, Kementeriannya akan terus berusaha untuk menarik pelabur dari luar untuk melabur di Sabah dan meningkatkan industri pembuatan untuk menjana pekerjaan bagi rakyat tempatan.

“Program Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah adalah bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan rasa bangga rakyat Sabah terhadap barangan keluaran tempatan, yang saya rasakan sekarang ini sudah boleh berdiri sama tinggi dengan produk-produk luar negeri.

“Selain itu, kempen ini juga dapat membantu Usahawan IKS meningkatkan semula hasil jualan dan membantu membuka peluang pekerjaan disebabkan penularan pandemik Covid-19”, katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya semua rakyat Sabah menyokong inisiatif tersebut dengan mempertingkatkan pembelian barangan tempatan, sudah tentunya ia akan merancakkan ekonomi domestik di negari Sabah dan sekaligus mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Sabah.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan SMJ Kementerian bagi membantu pengusaha-pengusaha IKS, pengilang-pengilang dan juga produk buatan Sabah itu sendiri.

“Pelbagai aktiviti menarik dan berinformatif juga telah disusun sepanjang kempen ini. Antaranya ialah Karnival Jualan oleh Usahawan IKS, padanan perniagaan, program kesedaran serta pembukaan 4 lagi Kedai IKS Sabah iaitu di daerah Tuaran, Keningau, Kota Marudu dan Tawau pada tahun ini”, jelasnya.

Dr.Joachim yang juga Adun Kundasang berkata, bagi mencapai objektif kempen ini, Kementerian telah menyusun 17 program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022, antaranya program pengembangan pasaran produk IKS Sabah ke pasaraya Semenanjung Malaysia melalui kerjasama dengan Pasaraya Segi Fresh dan GM Klang Wholesale City.

“Dalam program ini, beberapa produk IKS yang terpilih akan dipasarkan ke pasaraya berkenaan dan seterusnya mempromosi produk IKS Sabah ke luar negeri.

“Dengan program ini juga, ia dapat membantu meningkatkan hasil eksport negeri Sabah dan merancakkan semula sektor pengangkutan. Selain itu, beberapa ekspo juga telah dirancang bagi meningkatkan semula hasil jualan Usahawan IKS,” tambah Dr.Joachim.

Hadir sama pada majlis itu ialah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan/Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Safar bin Untong dan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN