Walter (kanan) menerima cenderhati disampaikan Freedy
PENAMPANG: Gejala penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya, tegas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
“Tidak dinafikan juga, penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani serta budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan keselamatan negara.
“Selain itu, sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara pada masa akan datang,” kata beliau yang juga merupakan Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah.
Tambah beliau, keharmonian dan kestabilan yang dikecapi dalam negara ini tidak akan kekal jika semua pihak gagal mengekang pelbagai gejala sosial yang akan mengancam generasi muda terutamanya melibatkan penyalahgunaan dadah.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Peringkat Daerah Penampang Tahun 2024 dan Program Ilmu Maju Aktif Nekad (IMAN) di Dewan Sri Malakun SMK Limbanak Penampang pad ahari Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Kenson yang turut mewakili beliau dalam program itu.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada PEMADAM Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, SMK Limbanak Penampang serta semua agensi yang telah menjayakan penganjuran karnival pada kali ini.
“Tema ‘Jauhi Dadah, Hidup Penuh Erti’ sungguh bertepatan supaya semua lapisan masyarakat khasnya pihak sekolah dapat membantu memberi kesedaran kepada golongan murid sekolah agar dapat mengekang penyalahgunaan najis dadah ini.
“Hal ini demikian kerana isu penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang mana ia menuntut usaha yang berterusan untuk menyelesaikannya dan penggembelengan tenaga daripada semua negara di seluruh dunia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelbagai pihak terutamanya pihak sekolah untuk berganding bahu memberikan pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah dan kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Hal ini kerana kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya dan boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan ketagih, malahan pengambilan dadah boleh menyebabkan jangkitan pelbagai penyakit serta kecelaruan mental dan sudah semestinya akan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial.
“Oleh itu, program hari ini menjadi serampang dua mata dalam memberikan maklumat dan pengetahuan kepada komuniti sekolah khususnya kepada para pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang kelak,” katanya.
Ini, katanya, selaras dengan matlamat Dasar Dadah Negara iaitu mewujudkan negara dan bangsa Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.
Tambah beliau lagi, isu penyalahgunaan dadah hanya boleh ditangani dengan adanya sinergi dan kerjasama yang amat padu dan jitu daripada semua pihak kerana bak kata pepatah ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
“Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama dalam muka surat dan hala tuju yang sama untuk menjadikannya sebagai satu realiti yang diterjemahkan melalui usaha dan komitmen yang berterusan agar generasi kita pada masa hadapan menjadi generasi yang bersih dan bebas daripada ancaman dadah kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
“Semoga program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang untuk merealisasikan Sekolah Bebas Dadah,” jelas beliau.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (HEM) Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, Freedy Au, para guru, pelajar dan lain-lain.