27.7 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bangunan Ikonik Labuan Dilimpahi Lampu Warna Biru

FOTO ATAS: Bangunan Wisma Perbadanan Labuan bermandikan cahaya  berwarna biru


LABUAN: Tiga bangunan ikonik dan dua kawasan yang menjadi tumpuan orang awam dilimpahi  lampu berwarna biru bermula malam semalam dan  akan berterusan sehingga 3 Mei ini sempena Program Light It Blue anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan.

Tiga bangunan ikonik yang dilimpahi lampu biru itu ialah  Wisma Perbadanan Labuan, Menara Perbadanan Labuan dan Bangunan UTC/Pasar Sentral manakala dua kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai ialah Dataran Labuan dan Labuan Walk.

Turut diterangi cahaya biru Jalan Merdeka dan Jalan Dewan.

JALAN MERDEKA…. Diterangi warna biru

Program Light It Blue yang diadakan serentak bermula jam 10.30 malam  hingga 1 pagi  di tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan itu sebagai tanda penghargaan dan solidariti warga Wilayah  kepada petugas barisan hadapan negara yang bertugas tanpa sempadan dalam memerangi wabak Covid 19.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman, berkata Program Light It Blue merupakan inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr, Annuar Musa bagi menzahirkan tanda penghargaan dan solidariti kepada semua petugas barisan hadapan baik di sektor awam, swasta  mahupun sukarelawan.

LABUAN WALK…dilimpahi cahaya lampu warna biru


Beliau berkata, di Labuan sahaja terdapat 1,272 orang yang terdiri daripada  anggota Majlis Keselamatan Negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perbadanan Labuan (PL) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi.

“Jumlah ini tidak termasuk petugas perubatan dan bukan perubatan di sektor swasta, para sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya, ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurut Dr. Fary, pelaksanaan program Light It Blue adalah program sukarela yang melibatkan bangunan, kawasan kerajaan, swasta, komuniti dan individu.

“Pemilihan warna biru adalah merupakan warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokas” jelasnya. TAMAT




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN