Arthur…. Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul profil penduduk dan Perumahan
KUALA LUMPUR:Banci 2020 adalah yang keenam dilaksanakan semenjak penubuhan Malaysia dan ia dilaksanakan setiap sepuluh tahun sekali.
Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul profil penduduk dan perumahan yang komprehensif serta terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil. Data banci ini akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah agensi utama dalam bidang pengumpulan data dan penghasilan statistik rasmi negara. Prinsip asas kepada penyebaran data adalah kerahsiaan maklumat responden.
Katanya, ini sejajar dengan prinsip yang termaktub dalam Seksyen 4. (2) Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).
Beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Dato’ Sri Hajah Rohani Binti Haji Abdul Karim (Batang Lupar)yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah prosedur dan caj yang dikenakan bagi mendapatkan data daripada Jabatan PerangkaanNegara (DOS) melalui Census 2020 yang dijalankan pada masa ini bagi tujuan perancangan dan kajian “masterplan” sesuatu tempat dan daerah
Arthur menjelaskan, pengendalian permintaan data dibuat berdasarkan Seksyen 8. (b), Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) mengikut kategori permintaan data seperti berikut:
Pertama, Data yang diterbitkan iaitu maklumat yang diterbitkan di dalam penerbitan boleh dimuat turun secara percuma melalui Portal DOSM, www.dosm.gov.my dan eStatistik.
Sebagai contoh, data yang diterbitkan adalah seperti Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa 2017 hingga
2020, Unjuran Penduduk Semakan Semula bagi tahun 2040 (diterbitkan 2016) dan Laporan Penemuan Banci
Penduduk dan Perumahan 2010.
Kedua katanya, data yang tidak diterbitkan iaitu seperti maklumat yang tidak terdapat dalam mana-mana penerbitan tetapi perlu diproses melalui penjanaan atau pengiraan semula serta diluluskan untuk sebaran kepada pengguna akan dikenakan caj mengikut kategori iaitu tempoh masa penyediaan data dan pemprosesan data sama ada melalui penjadualan komputer atau pengiraan semula, penyusunan dan proses tambahan.
“Antara data yang tidak diterbitkan adalah statistik bilangan penduduk dan jumlah tempat kediaman (TK) bagi kawasan spesifik seperti kampung dan taman perumahan” katanya.
Sebagai contoh katanya, caj yang dikenakan bagi penyediaan data mengikut masa adalah seperti bilangan penduduk mengikut kaum di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor. Kadar caj yang dikenakan adalah sebanyak RM30.00/jam berdasarkan tempoh masa penjanaan data melalui sistem.
Beliau berkata, tempoh masa penjanaan data tertakluk kepada jenis dan dimensi data yang diperlukan.
Dalam pada itu katanya, perkhidmatan konsultansi DOSM kepada pengguna tidak dikenakan fi. Penentuan berkenaan fi bagi data yang diterbitkan dan tidak diterbitkan hanya dikenakan kos untuk pengeluaran penerbitan atau data yang meliputi bahan mentah, overhead dan utiliti, emolumen serta kos-kos lain. Semua caj yang dikenakan
dimasukkan ke Akaun Hasil Kerajaan.
“Prosedur permohonan data yang tidak diterbitkan sama ada data Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Census 2020) atau data lain perlu dibuat melalui eStatistik atau dikemukakan terus kepada Ketua Perangkawan Malaysia” jelasnya lagi.
Katanya, sehingga 22 November 2020 katanya, bancian e-Census telah mencatatkan jumlah isi rumah di Malaysia adalah sebanyak 5.67 juta dan laporan Penemuan Awalan Census 2020 dijangka akan diterbitkan dalam tempoh tiga (3) bulan selepas Banci selesai.
Justeru itu beliau menyeru semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat Malaysia untuk sama-sama menjayakan Banci 2020 demi pembangunan masa hadapan negara. “ Data Anda Masa Depan Kita”
Sementara itu, menjawab soalan lisan Tuan Anyi Ngau (Baram)yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan pembangunan yang diluluskan kepada pihak RECODA sejak tahun 2015 dan nyatakan nama projek yang sedang/siap dilaksanakan di kawasan Baram, Arthur berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan kualiti dan kesejahteraan hidup adalah lebih baik kepada semua rakyat termasuk kepada rakyat di negeri Sarawak.
Katanya, komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negeri Sarawak ini dibuktikan melalui peruntukan pembangunan yang telah diluluskan kepada negeri Sarawak melalui pelbagai kementerian dan agensi Persekutuan sejak dahulu lagi.
“Ini termasuklah peruntukan bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah pelaksanaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) iaitu badan berkanun Kerajaan Negeri Sarawak yang merupakan sebuah agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM)” jelasnya.
Beliau berkata, sejak tahun 2015 sehingga tahun 2020, Peruntukan Siling Tahunan yang telah diluluskan kepada RECODA adalah berjumlah RM2.016 billion. Sehingga suku kedua tahun 2020, Peruntukan Siling Tahunan yang telah disalurkan kepada RECODA adalah berjumlah RM1.886 billion.
Jelasnya lagi Baki Peruntukan Siling Tahunan sebanyak RM130.55 juta akan disalurkan sebelum berakhir tahun 2020.
Katanya, pelaksanaan kedua-dua projek yang dilaksanakan oleh RECODA ini telah meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta memberi impak pembangunan di kawasan pendalaman dan tanah tinggi, khususnya di kawasan Baram. Tamat/-