30.6 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bambusa VC Juara Bola Tampar Karnival Sukan Bakat 2023

Barisan pemain Bambusa VC bergambar bersama Piala Johan Keseluruhan.

LABUAN: Pasukan Bambusa VC, Sekolah Kebangsaan Bebuloh (SKB) menyapu bersih Kejohanan Bola Tampar di Karnival Sukan Bakat  yang diadakan baru baru ini.

Pada perlawanan akhir Bawah 12 Tahun Lelaki, Bambusa VC mengecewakan  SK Bukit Kallam dengan keputusan 31 – 27.

Manakala bagi kategori Perempuan, Bambusa VC mudah mengatasi SJKC Chung Hwa 31 – 20.

Pengurus Pasukan, Macrina Fredoline berkata Bambusa VC bukan sahaja menyertai kedua-dua kategori lelaki dan perempuan tetapi juga mengejutkan semua dengan prestasi luar biasa.

Katanya, hasil bimbingan dua jurulatih berpengalaman, Muhamad Arif Zakwan Jusoh dan Ahmad Adham Yusof, Bambusa VC telah mengukir sejarah dalam karnival ini.

“Kejayaan paling membanggakan ialah Bambusa VC mendominasi  semua kategori, meraih gelaran Johan Lelaki Bawah 11 Tahun, Johan Perempuan Bawah 11 Tahun dan juga Johan Keseluruhan bagi Karnival Sukan Bakat ini.

“Bambusa VC menunjukkan kepelbagaian bakat yang unggul.

“Pemain-pemain berumur 8 hingga 11 tahun yang dihantar oleh Bambusa VC turut menarik perhatian dengan kecemerlangan mereka di gelanggang,”katanya.

Sejajar dengan kejayaan itu, Bambusa VC mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar SK Bebuloh, Maidan Dali @ Sumardi Yusoff, barisan pentadbir, guru-guru dan juga ibu bapa yang memberikan komitmen dan sokongan yang padu sepanjang latihan sejak bulan Oktober lalu.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama dan semangat berpasukan yang mengukuhkan semangat sukan dalam kalangan murid,”katanya.

Sebanyak tujuh pasukan lelaki dan enam pasukan perempuan menyertai Karnival Sukan Bakat 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Aznan Abidin menyampaikan hadiah kepada pemenang di Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung (GSTB), SK Bukit Kallam.

Turut hadir Pengerusi Teknik & Pembangunan Sukan Bola Tampar, JPWPL, Midzmar Harun.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN