Puan Sri Datin Wira Hartiah (duduk tengah) bersama rombongan merakamkan gambar kenangan dengan guru- guru dan murid-murid SK Pangi
TENOM: Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi dekat sini baru-baru ini.
Program itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah.
Puan Sri Datin Wira Hartiah berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara komuniti sekolah dan ahli BAKAT sambil memupuk semangat sukarelawan serta kecintaan terhadap masyarakat.
Katanya, jika sebelum ini PJM sering dikaitkan dengan anggota Tentera Darat Malaysia sahaja, namun melalui program ini membuktikan ahli BAKAT turut mampu untuk turun berbakti kepada masyarakat dalam program sukarelawan.
Dalam program ini, Ahli BAKAT Darat yang hadir telah berpeluang untuk membantu kerja-kerja baik pulih seperti mengecat bagi mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada para pelajar SK Pangi.
Pada majlis itu Puan Sri Datin Wira Hartiah turut berpeluang untuk menyampaikan sumbangan berbentuk alat tulis dan bahan bantu mengajar termasuk skrin smart TV.
Selain itu beliau juga menyampaikan buah tangan termasuk wang tunai kepada murid-murid SK Pangi.
Pada masa sama beliau berharap agar aktiviti pada hari ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara pihak BAKAT Darat dan komuniti masyarakat setempat.
“Ini turut membuktikan bahawa kerjasama yang jitu antara institusi pertahanan negara dan institusi pendidikan mampu mewujudkan generasi muda yang berdisiplin, berilmu dan bersemangat patriotik” jelasnya.
Sementara itu Guru Besar SK Pangi Petrus Tanggau dalam ucapan alu-aluannya berkata, wara SK Pangi menyambut baik PJM yang dilaksanakan di sekolah ini.
Katanya, pemilihan sekolah ini sebagai pelaksaan program amat dihargai oleh warga SK Pangi.
“Bagi pihak warga sekolah yang terpencil ini, saya amat menghargai dan menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada rombongan BAKAT Darat yang sanggup menjejakkan kaki di sekolah ini walaupun melalui perjalanan yang sukar” katanya.
Pada masa sama Petrus menyatakan bahawa SK Pangi satu-satunya sekolah yang hanya boleh dikunjungi dengan pengangkutan keretaapi.
SK Pangi mempunyai 15 orang guru termasuk Guru Besar dengan bilangan murid lebih 70 orang.