AIQAL (kanan) bersama bersama jurulatihnya Mohd Norfarhan
LABUAN: Walaupun bukan kilauan emas mampu dibawa pulang oleh atlet karate Labuan, namun sudah cukup membanggakan warga Labuan apabila berjaya meraih pingat gangsa sekaligus menjadikan atlet karate anak jati Labuan yang pertama menyumbang pingat di pentas Asia.
Atlet yang dimaksudkan ialah Muhamad Aiqal Asmadie yang berjaya membawa pulang pingat gangsa di Kejohanan Asia Karate 2022, Senior Cadet, Junior Cadet & U12 yang berlangsung di Taskent, Uzbekistan baru-baru ini.
Persatuan karate Labuan dalam satu kenyataan berkata, pencapaian Aiqal menerusi kategori Kata Lelaki 21 tahun bukan sahaja untuk mengharumkan nama pasukan karate Labuan , tetapi juga untuk sukan karate negara.
“Kejayaan Aiqal membuktikan atlit Labuan juga mampu mencipta nama diperingkat antarabangsa dan ini sekaligus menjadi kesinambungan kepada legasi atlet atlet dari Labuan seperti Datuk Hassan Sani (Bola Sepak), Koh Chan Lee (Tinju), Zaleha Ismail (Hoki) dan Alahyarham Ramli Ahmad (Olahraga)”kata kenyataan itu.
Dalam waktu yang sama, kejayaan Aiqal memberi suntikan semangat kepada atlet atlet muda terutamanya atlet karate Labuan untuk terus berusaha bagi mencapai prestasi tertinggi bagi mengharumkan nama Labuan dan negara di peringkat dunia.
Sementara itu, Presiden Persatuan karate Labuan, Mohd Ismifarizal Mohamed Ishak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Aiqal dan jurulatih sukan karate Labuan yang juga jurulatih kebangsaan Mohd Norfarhan Nordin atas kejayaan mereka mengharumkan nama Wilayah Persektuan Labuan, negara dan juga persatuan karate Labuan.