SIDANG MEDIA….Japar (tengah) bersama Prunella Phong (kanan) ketika bercakap pada sidang media di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif ASB Sdn. Bhd, pada Jumaat
LABUAN – Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) akan mempertimbangkan semula semakan ke atas yuran kemasukan di pintu pagar kawasannya yang baru dikuatkuasakan.
Semakan semula itu terpaksa dilakukan selepas menerima rungutan dari penyedia perkhidmatan pengangkutan dan logistik.
Bermula pada 1 Januari lalu, syarikat ASB Sdn, Bhd telah memperkenalkan caj yuran pintu pagar baharu (diklasifikasikan berdasarkan jenis kenderaan) kepada semua kenderaan yang memasuki di pintu pagarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik Japar B. Esteban berkata ASB, yang mempunyai lebih daripada 100 syarikat multinasional dan tempatan yang beroperasi di pangkalan itu, bersedia mendengar rintihan dan rungutan pemain industri, dengan mengambil kira kepentingan perniagaan ASB serta pelanggannya.
”Kami telah diberi taklimat oleh Persatuan Penghantar Kargo Labuan (LFFA) yang diterajui presidennya, Prunella Phoong mengenai caj tambahan yang akan ditanggung syarikat pengangkutan dan kami akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai perkara ini sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Japar berkata perkara itu akan dibentangkan kepada lembaga pengarah ASB tidak lama lagi untuk dimuktamadkan cadangan semakan tersebut.
Caj pintu pagar ASB mula diperkenalkan pada 1990 dan semakan terakhir dibuat pada 2000.
Oleh kerana yuran ini adalah caj pihak ketiga dan boleh menjadi meningkat apabila terkumpul, LFFA telah memaklumkan kepada semua pelanggan dalam industri logistik bahawa akan ada caj tambahan yang dikenakan yang melibatkan caj pengangkutan bagi kemasukan ke pangkalan ASB termasuk Pintu Utama 1, Pintu 2, New Yard, Yard 45, Yard 36, Gudang 3 dan Gudang 7.
Phoong berkata yuran itu merangkumi semua penghantaran konsainan import atau pengumpulan konsainan eksport daripada pelanggan yang terletak di dalam pangkalan ASB seperti yang dimaklumkan dalam caj pekeliling.
Caj baharu ASB, mengikut pekeliling bertarikh 14 Dis 2020, adalah berdasarkan kategori dan kelas (A-E) kenderaan (kenderaan komersil, lori, treler termasuk penggerak utama) daripada tiga tan hingga 10 tan serta bayarannya akan berkisar antara RM5 hingga RM35 setiap kemasukan.
”Isunya sekarang adalah pemain industri logistik tidak dirujuk sebelum pelaksanaan yuran pintu pagar baharu ini, yang akan menyebabkan mereka menanggung beban kewangan tambahan…Ini punca yang menyebabkan mereka merungut,” katanya.