JAPAR (berdiri tengah) bersama rombongan ASB Sdn. Bhd yang menyertai Sinergi Antara Minyak dan Gas (OGA), Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas (MOGSEC) 2022
LABUAN: Asian Supply Base (ASB) Sdn. Bhd telah menyertai Sinergi antara Minyak dan Gas (OGA) 2022, Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas (MOGSEC) 2022 serta Persidangan Kelestarian Petrokimia ( PSC) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari (13-15 September) itu anjuran bersama Informa Markets Malaysia, MOGSC dan Malaysian Petrochemical Association (MPA).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASB Sdn. Bhd, Japar Esteban, ini adalah penglibatan pertama kali ASB di dalam OGA X MOGSEC dan PSC 2022 serta merupakan satu-satunya syarikat yang mewakili negeri Sabah di Hall 1 Sabah Sarawak Pavilion bersama dengan syarikat tempatan dan lapan lagi syarikat antarabangsa dari South Korea, Scotland, Singapura, Indonesia, United Kingdom, Itali, German dan Nort America.
“Edisi kali ini yang mencerminkan peluang dalam kepelbagaian ekonomi Malaysia, mendapat sambutan hangat daripada pemain industri dari dalam dan luar negara”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Japar berkata, ASB kini dalam usaha untuk meneroka potensi menjadi sebagai pembekal perkhidmatan logistik komersial selain menambah dan mempelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan di pangkalan ASB.
Selain itu katanya, ASB juga bersedia untuk meluaskan saiz pangkalan 345 ekar yang sedia ada untuk dikembangkan selaras dengan keperluan dan permintaan daripada pelanggan yang semakin meningkat.
“Dengan usaha penambahbaikan dan peningkatan kadar kecekapan dan produktiviti operasi ASB, saya yakin ASB mampu menjadi syarikat logistik pilihan dalam syarikat minyak dan gas yang menjalankan aktiviti di perairan Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina,” katanya.
Turut bersama dalam persidangan itu ialah Ketua-SCM & Base Development, David Agang, Ketua Perkhidmatan Marin, Ker Boon Chong, Ketua Sumber Manusia, Mashkuri Harun dan wakil dari Unit Pembangunan Perniagaan, Perkhidmatan Korporat dan Operasi.