Suhali menyampaikan sumbang kepada penerima pada majlis itu.
LABUAN: Syarikat korporat dalam sektor minyak dan gas di Labuan, Asian Supply Base (ASB) Sdn Bhd meraikan golongan asnaf, anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Majlis Iftar ASB 2026 yang diadakan di Tiara Labuan Hotel, petang kelmarin.
Pada majlis itu seramai 100 penerima dari golongan tersebut diraikan dalam majlis Iftar, serta menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda ingatan dan keprihatinan daripada syarikat tersebut.
Pengerusi ASB Sdn Bhd, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman ketika berucap pada majlis itu berkata, ASB Sdn. Bhd. yang sudahpun beroperasi lebih 40 tahun di Labuan akan terus melaksanakan Tanggung Jawab Sosial (CSR) bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan selain komited dalam membantu membangunkan Labuan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berharap dengan adanya sumbangan tersebut dapat meringankan beban sambil menceriakan golongan tersebut untuk bersama menyambut dan meraikan bulan Ramadan.
“Bersempena bulan mulia ini, budaya saling memberi dan berkongsi rezeki bukan saja di galakkan dalam Islam, tetapi juga mengukuhkan lagi silaturahim dalam komuniti”, katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah ASB Datuk Aziah Atoh dan Ketua Pegawai Eksekutif ASB Datuk Japar Esteban.



