Arthur (tengah)bersama dengan Robert (dua dari kanan), Annuar (kiri)dan frontliners yang menerima suntikan vaksin pada pelancaran Program Imuninasi Kebangsan COVID-19 Peringkat Zon Pendalaman Sabah.
KENINGAU:Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini telah melancarkan Program Imuninasi Kebangsan COVID-19 Peringkat Zon Pendalaman Sabah fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan.
Beliau turut menerima suntikan vaksin COVID-19 di sesi pelancaran tersebut.
Turut menerima suntikan vaksin COVID-19 itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor dan ADUN Liawan Datuk Annuar Datuk Ayub.
Daerah Keningau merupakan daerah yang kedua menerima vaksin selepas Kota Kinabalu. Sebanyak 1,365 vials bersamaan 8,190 dos vaksin COVID-19 telah diterima bagi fasa 1.
Hospital Keningau mempunyai kapasiti untuk menyimpan Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, yang sangat sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer – ULTF) dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.
Seramai 4,950 orang petugas kesihatan dan bukan kesihatan yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Anggota Polis, BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Kastam, Imigresen Jabatan Kebajikan Masyarakat dan guru yang akan menerima suntikan bermula hari ini.
Dos pertama fasa 1 akan mengambil masa selama 2 minggu untuk dihabiskan dan dijangka selesai pada pertengahan April 2021 di mana semua penerima akan melengkapkan dos 1 dan 2.
Sebanyak 22 lokasi fasiliti awam termasuk dewan masyarakat dan balai budaya telah dikenalpasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi Daerah Keningau (10), Tambunan (6), Nabawan (4) dan Tenom (2) bagi fasa 2 dan 3 yang mensasarkan kepada orang awam.
Timbalan Menteri Di Jabatan Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penduduk yang tinggal di kawasan Pendalaman khususnya bagi Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akses kepada capaian talian internet untuk mendaftar di dalam
“my sejahtera” KKM akan menggunakan kaedah dokumentasi bercetak. Ini bagi memastikan tiada masyarakat yang akan tertinggal “no one left behind” daripada menerima suntikan vaksin tersebut.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan turut menjelaskan, ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 ke Malaysia akan dapat membantu mengurangkan impak negatif kepada ekonomi serta membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi semula seterusnya mewujukan kemungkinan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.
Tambahnya, tindakan Kerajaan telah membenarkan rentas daerah di beberapa buah negeri mulai 5 Mac 2021 dijangka memberi kesan positif ke atas sektor pelancongan domestik yang akan membantu merancakkan ekonomi hiliran sektor pelancongan di negeri-negeri tersebut.
Beliau berharap agar Kerajaan Negeri Sabah akan mempertimbangkan kebenaran merentas daerah bagi negeri Sabah dengan memperketatkan Prosuder Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Pembukaan semua sektor ekonomi dilihat akan dapat merancakkan semula ekonomi dan dijangka pada suku kedua tahun ini ekonomi negara akan kembali berkembang.
Justeru, pembukaan sektor ekonomi juga akan dapat mengurangkan kadar pengangguran dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan” jelasnya.
Beliau berkata, Kerajaan mensasarkan lebih 80 peratus rakyat Malaysia akan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Jelasnya lagi, Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.