CEROBOH…bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Labuan di tahan oleh APMM pada Sabtu.
LABUAN :Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan sebuah bot nelayan bersama lima nelayan Vietnam di perairan Labuan kira-kira 23.4 batu nautika barat laut Pulau Kuraman dekat sini, pada Sabtu.
Pengarah APMM Labuan Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata berdasarkan maklumat awam, pihaknya menahan kapal itu dan lima awak-awak termasuk tekong pada 2.30 petang ketika mereka sedang leka menaikkan ikan ke dalam kapal yang dicurigai.
“Mereka seakan-akan tidak takut dengan tindakan undang-undang negara apabila kapal nelayan itu didaftarkan di bawah nama One United sebagai kapal kargo, tetapi didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
CALIT…. Salah seorang nelayan Vietam yang ditahan menjalani ujian calitan COVID 19 di jeti APMM Labuan.
Kesemua nelayan Vietnam yang berumur 22 hingga 35 tahun yang turut gagal menunjukkan pengenalan diri ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Nelayan tersebut terlebih dahulu menjalani ujian calitan (swab test) COVID-19 oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan sebelum dibawa ke jeti APMM.