Apa yang perlu diraikan?

Apa yang perlu diraikan?

21/08/2021 Off By Stringer

TELAH diumumkan bahawa YB Dato ’Sri Ismail Sabri akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.  Kita dapat melihat kegembiraan para penyokong BN dan PN di seluruh negara.  Apa yang mereka raikan?  Bahawa kita terus menjadi bahan ketawa di arena global?

Negara ini masih diancam wabak pandemik Covid-19 yang amat serius. Malah jumlah jangkitan dan kematian daripada wabak ini meningkat hampir setiap hari dan berada pada tahap tertinggi walaupun dengan segala Perintah Kawalan Pergerakkan dan pengisytiharan darurat yang telah dibuat.

Di antara mesej-mesej dan ucapan tahniah yang diberikan, terdapat harapan untuk melihat Malaysia menjadi ‘lebih baik’ dengan pembentukan kerajaan baru ini.  Bagaimanakah untuk negara kita menjadi ‘lebih baik’ dari sebelumnya jika para pemimpin ini adalah pemimpin yang sama menerajui kerajaan yang lepas?

Jangan sekali-kali kita lupa bahawa ketidakstabilan yang dialami oleh negara ini adalah disebabkan oleh pertelingkahan dalaman Kerajaan PN dalam merebut jawatan Perdana Menteri diantara PPBM dan UMNO.

Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang berkata, Tan Sri Mahiaddin Yassin mengaitkan kejatuhannya kepada golongan Kleptokrat dan telah tampil di depan Televisyen dan memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau tidak akan mengkhianati prinsipnya dan bekerjasama dengan golongan ini.  Namun dengan sokongan seramai 114 ahli Parlimen seperti yang dilaporkan, jelas sekali golongan kleptokrat ini telah diterima dengan tangan yang terbuka luas sekaligus menyelamatkan kerajaan PN sekali lagi.

Negara kita mengalami situasi politik yang tidak menentu selama berbulan-bulan dan berada di ambang krisis perlembagaan kerana kekacauan politik yang disebabkan oleh perebutan kuasa diantara para pemimpin kerajaan PN.

Bahkan pihak Istana juga tidak terkecuali dan telah diheret dalam isu pembatalan ordinan-ordinan darurat. Kita masih ingat dan melihat bagaimana kenyataan-kenyataan kasar yang telah dikeluarkan oleh para pemimpin PN dalam menegaskan bahawa Yang diPertuan Agong mesti mengikut dan bertindak terhadap nasihat Kerajaan PN dalam membatalkan Ordinan-Ordinan darurat ini.  Namun sepertimana kerajaan ini terkenal dalam kerap kali menukar keputusan mereka, sekali lagi telah membuat satu “pusingan-U” dan mengakui kesilapan meraka bahawa sebenarnya tidak ada dibuat pembatalan terhadap Ordinan-Ordinan darurat ini oleh Yang Di Pertuan Agong.

Para pemimpin kerajaan PN ini juga telah cuba untuk menyalahkan pihak pembangkang dengan menyatakan bahawa keinginan mereka untuk kembali berkuasa telah menyebabkan ketidakstabilan ini, seolah-olah terlupa akan fakta yang terang lagi bersuluh bahawa kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yassin telah runtuh kerana sebilangan daripada rakan-rakan mereka dalam UMNO telah menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan PNnya.

Peranan pembangkang sebagai semak dan imbang (check and balance) terhadap segala kelemahan dan kekhilafan kerajaan PN dalam membuat dasar tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan punca ketidakstabilan politik yang sedang telah berlaku.

Para pemimpin ini dan para penyokong mereka saling meraikan dan mengucapkan tahniah sesama sendiri walaupun pertelingkahan mereka ini hampir mengakibatkan negara kita di ambang kegagalan, namun mereka akhirnya berjaya menyelamatkan kedudukan mereka dengan membuat rundingan sesama sendiri dan memastikan bahawa kuasa kembali ditangan mereka.

Tindakan mereka ini amat memalukan negara kita dengan bagaimana mereka telah menyalahgunakan dan memanipulasi proses demokrasi dengan bersembunyi di sebalik Perlembagaan Persekutuan kita yang suci.

Tetapi apa yang lebih menyedihkan, tindakan mereka adalah satu penghinaan yang besar terhadap pengorbanan barisan hadapan (frontliners) kita dan kepada mereka yang telah kehilangan nyawa akibat daripada wabak ini.  Rakyat juga merasa marah, keliru dan kecewa terhadap para politikus ini yang sibuk berebut kuasa sesama sendiri daripada menumpuhkan sepenuh perhatian dan tenaga mereka dalam menangani ancaman wabak pandemik Covid-19 ini. Dalam kelemahan kepimpinan meraka yang sering bertukar-tukar SOP yang tidak konsisten, telah menyebabkan keadaan menjadi lebih parah dengan peningkatan jangkitan dan kematian akibat daripada wabak ini. Disebabkan kerana fokus mereka hanyalah siapa yang akan berjaya merebut tempat teratas.

Hari ini, Malaysia mencatat satu lagi rekod dengan 23,564 jangkitan harian, dan hampir setiap hari kita melihat peningkatan kes. Kita kenal dan ingat, pemimpin yang kerapkali mengumumkan SOP yang mengelirukan dan memeningkan, akan menerajui jawatan tertinggi negara kita.

Oleh itu, kepada para pemimpin dan penyokong PN, GPS, PBS, BN dan Ahli-Ahli Parlimen Bebas yang sedang merayakan ‘kejayaan’ mereka ini dan mengucapkan tahniah sesama sendiri, saya meyatakan kelakuan anda semua ini adalah memalukan.  Rakyat tidak akan lupa.