SERAH…..Azizan menyerahkan sumbangan kepada isteri OKU di Perumahan Rumah Murah Rancha-Rancha
LABUAN: Syarikat amanah berlesen, AMS Trust Company Limited yang beroperasi di Labuan dan juga di Kuala Lumpur telah menyantuni beberapa golongan asnaf untuk menyampaikan sumbangan melalui Program Ziarah Kasih Ramadan 2021 yang diadakan pada Sabtu.
Turut sama menyantuni golongan yang kurang berkemampuan itu ialah Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Ghani Yunus, Pengerusi AMS Trust Company Limited, Azizan Mohd Som dan Pengarah syarikat, Rita Mohd Shariff.
Selain itu, 13 kakitangan AMS Trust dan anak syarikatnya AMS Properties Limited turut menjayakan program Ziarah Kasih Ramadan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan setiap tahun sejak 2013.
Sementara itu, Azizan yang mengetuai program tersebut berkata pada tahun ini seramai enam keluarga golongan kurang berkemampuan (asnaf) yang terdiri daripada ibu tunggal, fakir miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

TANGGUNG JAWAB SOSIAL….. Azizan (tengah), Bashir (7 dari kanan) bersama kakitangan AMS Trust menyantuni ibu tunggal di Jalan Penghulu Tuah Durian Tunjong pada Sabtu.
“Dalam program ini pihak AMS Trust telah menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan dapur dan juga duit raya serta wang zakat dari orang perseorangan” katanya ketika ditemui disalah sebuah rumah yang disantuni di Kampung Bukit Kuda.
Beliau berkata, selain Labuan program yang sama turut diadakan di Kota Kinabalu dan juga di Nilai Negeri Sembilan.
Turut diadakan pada sebelah petangnya ialah Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan syarikat dan keluarga masing-masing bersama jemputan khas dan rakan media di salah sebuah restoran terkemuka di sini.
AMS Trust Company Limited merupakan sebuah syarikat Amanah berlesen di bawah kawal selia Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan telah beroperasi sejak tahun 2013 yang telah banyak membantu syarikat dari dalam dan luar negara untuk menubuhkan entiti luar pesisir di Labuan.



