31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Amir Matamin anak Sabah pertama dilantik KP LPP Malaysia

Amir Matamin

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengalu-alukan dan menyambut baik pelantikan anak kelahiran Sabah sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, Amir merupakan anak Sabah pertama yang dilantik ke jawatan tertinggi dalam LPP Malaysia.

“Saya mengenali beliau sejak tahun 1993 ketika LPP ditubuh di Sabah dengan Pengarah pertama Haji Mohd Safian Mohd Hussin.

“Masa itu beliau telah menunjukkan sikap sebagai seorang pegawai muda yang mempunyai kepimpinan yang baik, sangat menghormati semua orang, rendah diri, suka bergaul, suka menolong dan sentiasa tidak lokek berkongsi tentang peranan LPP sebagai agensi kerajaan yang mendaftar, membuat pengawasan dan pengawalan semua perjalan Pertubuhan Peladang di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan (PP)”.

“Beliau merupakan satu-satunya Ketua Pengarah LPP Malaysia yang tidak pernah menjadi Pengarah LPP di mana-mana negeri di Malaysia. Ini mencerminkan ketokohan dan kepimpinan beliau yang baik sehingga boleh mencapai ke jawatan Ketua Pengarah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Amir sebagai KP LPP Malaysia yang baharu menggantikan Datuk Azulita Salim yang telah bersara.

Mohd Nazri penuh yakin, Amir boleh membantu Kerajaan Perpaduan Madani dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan misi membantu rakyat kearah meningkatkan pendapatan dalam sektor makanan serta menjadikan Malaysia lebih cermerlang ke arah berpandapatan tinggi.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas pelantikan Ketua Pengarah LPP Malaysia yang baharu. Dengan pelantikan Pegawai Tinggi mewakili Borneo dalam Pergerakan Pertubuhan Peladang ini, diharapkan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat di Malaysia Timur dan negara ke paras yang lebih baik terutamanya Masyarakat Peladang”.

“Saya juga yakin beliau dapat membantu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu menjayakan misinya untuk mengubah nasib semua pihak yang berkepentingan dalam industri pertanian dan membangunkan masyarakat peladang, penternak dan nelayan dalam semua bidang yang diceburi.

“Kami anggota peladang dan rakyat di Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan diatas kepercayaan kerajaan melantik seorang lagi anak Sabah dari Borneo dan diberikan peranan mengetuai sebuah agensi yang menyelia 1 pertubuhan peladang kebangsaan, 14 PPN, 280 PPK dan 7,697 Unit Peladang yang pemegang sahamnya hampir 1 juta orang di negara ini”, tegasnya.

Mohd Nazri juga percaya Amir akan dapat mengembalikan semangat satu pasukan antara LPP agensi dimiliki oleh kerajaan dan PP yang dimiliki oleh ahli-ahli individu yang mempunyai saham dalam PP seperti beliau lakukan sejak dahulu di Sabah, bermula sebagai Pegawai Ehwal Ekonomi hingga menjawat Timbalan Pengarah LPP Negeri Sabah, jawatan akhir beliau sandang sebelum berpindah tugas di Kuala Lumpur.

“Semua ahli peladang PPK di Sabah sangat menghormati dan menyayangi beliau, kerana Amir adalah seorang pegawai yang sangat baik dengan ahli-ahli peladang di Sabah.

“Beliau tidak pernah bersikap meninggi diri dengan menunjukkan kuasanya kepada ahli peladang, sebaliknya beliau sentiasa mendekati mereka untuk berbincang dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.

“Beliau selalu berhemah dalam menjalankan peranan dan fungsinya walaupun sudah menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP Malaysia, beliau tetap Amir Matamin yang kita kenal 31 tahun yang lalu iaitu dari tahun 1993 hingga 2024.

“Sikap beliau langsung tidak pernah berubah, dari segi gaya, penampilan, pergaulan dan juga kepimpinannya yang tidak lokek ilmu dan kuat bekerja.

“Bagi pihak ahli peladang di Sabah, Sarawak dan Labuan (Borneo) kami sentiasa mendokan kejayaan Amir dalam mengalas tugas baharu dan kami berdoa ke hadrat ALLAH supaya sentiasa pelihara insan yang kami amat hormati dan sayangi ini. Sukacita kami ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada En. Amir bin Matamin di atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia ke-14. Semoga dengan pelantikan ini akan memberi pembaharuan yang baik dan cemerlang kepada Pergerakan Pertubuhan Peladang seluruh negara.

“Selamat bertugas adik ku saudara Amir Matamin”, kata Mohd Nazri.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN