ADVERTISEMENTspot_img

Ambang Merdeka 2026 Semarakkan Patriotisme dan Perpaduan Penduduk Kampung Telok Serabang

KENANGAN……..Para peserta acara Futsal merakam gambar kenangan sebelum memulakan permainan sempena program tersebut.

OLEH: SALWAH ARAMAT

SEMATAN: Semangat patriotisme dan perpaduan komuniti terus disemarakkan menerusi Sambutan Ambang Merdeka 2026 di Kampung Telok Serabang yang telah berlangsung meriah dengan penglibatan aktif penduduk setempat.

Program anjuran komuniti Kampung Telok Serabang dengan kerjasama PBB Ranting N.03 Tanjung Datu itu bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di Daerah Kecil Sematan.

Pelbagai aktiviti santai dan berunsur kekeluargaan disusun bagi menarik penyertaan penduduk daripada pelbagai peringkat usia, antaranya pertandingan futsal, sukaneka, pertandingan mewarna serta cabutan tiket bertuah yang berlangsung dalam suasana penuh ceria.

Golongan kanak-kanak turut diberi perhatian menerusi pertandingan mewarna yang bukan sahaja mencungkil kreativiti dan bakat mereka, malah memberi ruang kepada generasi muda menghayati semangat sambutan kemerdekaan menerusi pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan.

Kemuncak sambutan turut diserikan dengan cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, sekali gus menambah kemeriahan program serta menggalakkan lebih ramai penduduk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan.

Pertandingan futsal pula mencuri tumpuan apabila empat pasukan dari kampung sekitar berentap bagi merebut kejuaraan. Kampung Telok Melano muncul juara, diikuti Kampung Temaga Melayu sebagai naib juara, manakala Kampung Serabang menduduki tempat ketiga dan Kampung Sebat di tempat keempat.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Mantan Timbalan Ketua Ranting N.03 Tanjung Datu, Haji Abu Seman Keram, yang turut hadir menyatakan sokongan terhadap usaha komuniti menjayakan program berteraskan perpaduan dan kemasyarakatan itu.

Kehadiran beliau turut mencerminkan komitmen serta penghargaan terhadap semangat penduduk yang berganding bahu menjayakan sambutan berkenaan, sekali gus membuktikan bahawa semangat kemerdekaan bukan sekadar diraikan melalui acara, tetapi diterjemahkan menerusi perpaduan, kerjasama dan keprihatinan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN