ADVERTISEMENTspot_img

Tiga peniaga dikompaun atas kegagalan mempamerkan tanda harga

Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan di salah satu kedai runcit yang dilaporkan tidak mempamerkan tanda harga

LABUAN: Tiga peniaga dikenakan dikompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga barangan yang dijual kepada pengguna.

Pengarah Pejabat Kementerian Pengguna Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, ketiga tiga peniaga yang di kenakan kompaun itu membabitkan dua premis kedai runcit manakala satu lagi premis makanan dalam satu pemeriksaan yang dijalankan selepas menerima aduan pengguna pada Selasa lalu.

“Atas kesalahan itu kita telah mengeluarkan notis kompaun mengikut Akta Harga dan Anti pencatutan 2011 Akta 723 (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Bdliau berkata, keperluan mempamerkan tanda harga adalah penting bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat harga yang jelas sebelum membuat keputusan pembelian.

Ia juga membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih mudah serta mengelakkan kekeliruan ketika urusan jual beli.

Bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.

Junaidah turut memberikan peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil mudah keperluan mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi setiap barangan yang ditawarkan termasuk barang makanan tersedia di premis makanan.

“Tanda harga hendaklah dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat bagi memberikan ketelusan kepada pengguna ketika membuat pilihan pembelian”, jelasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN