Benedict (tiga kiri) bersama penerima Sijil Penghargaan daripada Unit Tabung Darah Hospital Ranau merakam gambar bersama Grace (dua kiri).
KUNDASANG: Jawatankuasa Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Ranau, dipuji atas kejayaannya menganjurkan program Kempen Derma Darah di Tamu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pekan di sini bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang hari ini.
Program itu dengan kerjasama KRT Kundasang, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang dan Unit Tabung Darah Hospital Ranau, berjaya mengumpul 30 pain darah daripada orang ramai yang berkelayakan menderma darah.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Daunis Bolo Bin Samy, ketika berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Peridustrian yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr.Joachim Gunsalam merasmikan program Menderma Darah itu memuji kerjasama penganjur kerana berjaya merancang dan melaksanakan program murni tersebut.
“Program seumpama ini adalah amat penting bagi membantu mengisi tabung darah hospital Ranau untuk membantu mereka yang memerlukan bekalan darah terutama pesakit Tellasmia, ibu-ibu lepas bersalin dan mereka yang terlibat dengan kemalangan memerlukan bekalan darah dengan segera.
“Setitik Darah boleh menyelamatkan nyawa mereka yang terlibat”, jelas Daunis.
Terdahulu, Pengerusi ALPH, Benedict Gunda dalam ucapan aluannya turut berterima kasih atas kerjasama daripada KRT Kundasang, UPPM Kundasang dan Unit Tabung Darah Hospital Ranau kerana membantu menjayakan Kempen Derma Darah yang julungkali diadakan di Tamu Mingguan KRT pekan Kundasang.
“Dengan adanya kerjasama padu daripada semua pihak, program penting seumpama ini dapat kita laksanakan dengan jayanya”, jelas Benedict sambil berterima kasih kepada para penderma darah yang mejoritinya warga KRT Kundasang.
Penderma Darah sehingga 30 orang terawal telah menerima sekampit beras (5 kilo) berserta wang tunai RM30 ringgit manakala penderma ke-31 dan yang seterusnya menerima sekampit beras 5 kilogram sumbangan KRT Kundasang.
Benedict memaklumkan bahawa, program itu bukanlah yang terakhir sebaliknya sebagai permulaan menganjurkan kempen ‘Menderma Darah’ mengajak mereka yang berkelayakan menderma darah bagi membantu mengisi Tabung Darah Hospital Ranau yang sentiasa memerlukan bekalan darah untuk para pesakit yang berkeperluan dari masa ke semasa.
Turut hadir dan menderma sepain darah ialah, Pengerusi Penyelaras 17 KRT kawasan Kundasang, Hatily Bin Nordin manakala hadir sama ialah,
para Staf Pejabat Parlimen Ranau dan Juruteknologi Makmal Tabung Darah Hospital Ranau, Grace John dibantu lebih 10 orang kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Ranau.
          Â