GAMBAR KENANGAN…Kong (Tengah) bersama pemain dari Pasukan Putrasama FT dan Tornado FT dimana kedua-dua pasukan ini berentap dalam acara final Kehohanan Futsal Wiramuda Star Bahagian Parlimen Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Aktiviti sukan boleh mengeratkan semangat Keluarga Malaysia dengan penyertaan pelbagai suku bangsa dan agama yang berbeza serta mewujudkan suasana harmoni dikalangan peserta yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan.
Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, acara sukan seperti pertandingan futsal antara wadah untuk merapatkan tali silaturahim semua pihak khasnya golongan belia yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Katanya, melalui aktiviti sukan seumpama itu, dapat dilihat para peserta saling beramah mesra dengan kumpulan-kumpulan lain yang bertanding tanpa membezakan suku bangsa dan fahaman agama.
“Inilah bukti bahawa melalui aktiviti sukan, semangat Keluarga Malaysia dapat diterapkan sesuai dengan matlamat Perdana Menteri Malaysia yang menjadikan slogan itu untuk keharmonian semua pihak di negara kita”. Jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kejohanan Futsal Piala Wiramuda Star Parlimen P.168 Kota Marudu yang berlangsung di OJS Sport Centre dekat sini pada Ahad yang disertai 32 pasukan.

Kong menyampaikan hadiah kepada Pasukan Putrasama FT selaku juara Kejohanan Futsal Wiramuda Parlimen P.168 Kota Marudu.
Kong turut menjelaskan, setiap belia perlu mempastikan bakat sukan yang mereka miliki dikekalkan dengan menjaga stamina dan kesihatan diri agar ia boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi untuk mengharumkan nama negeri dan negara.
Jelasnya, ketika ini negeri dan negara memerlukan individu yang mempunyai bakat sukan untuk menjadi wakil ke temasya sukan berprestij seperti Sukan Komanwel atau Olimpik dan sudah tentu jika seseorang mempunyai bakat dalam acara tertentu maka beliau layak untuk diambil sebagai peserta.

“Jaga stamina dan kesihatan anda agar terus sihat untuk menyertai pemilihan bakat sukan. Jangan terlibat dengan salah laku seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah”. Tegasnya.
Dalam kejohanan itu,Pasukan Putrasama FT telah menjadi juara menewaskan Pasukan Tornado FT dengan jaringan gol 4-2 dan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 1,000 beserta medal manakala naib johan menerima wang tunai RM 700 serta tempat ketiga pasukan Man Triton FT membawa pulang wang tunai berjumlah RM 500. Kedua-dua pasukan itu turut menerima medal.