CERIA…Ahli keluarga Rondonon Paka Dua Ranau, tersenyum gembira setiba di Puncak Maragang Hill.
RANAU: Selepas kejayaan melaksanakan program mengunjungi beberapa lokasi peranginan di Ranau, Keluarga Rondonon Kg.Paka Dua di sini, mencatat satu lagi sejarah tersendiri bagi mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti positif apabila menawan Puncak Maragang Hill Kundasang terletak di kaki Gunung Kinabalu.
Jurucakap rombongan keluarga Rondonon, Hamdy Bin Satrin ketika ditemui memberitahu, aktiviti itu adalah ‘Hiking’ sebagai pengisian masa cuti sekolah anak-anak bersama ibubapa yang kelak boleh diaplikasikan dalam pembelajaran anak-anak mereka sama ada yang masih Tadika, Prasekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menangah atau di Institusi Pengajian Tinggi.
“Sementara antara objektif utama program kami adalah, untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan, memberi pendedahan kepada ahli keluarga terhadap kepentingan kekuatan fizikal dan mental, mengisi masa berkualiti bersama menikmati keindahan alam semulajadi seterusnya memupuk nilai kerjasama positif dan sikap membantu dikalangan ahli keluarga kami”, jelas Hamdy seorang Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam bertugas di Puterajaya Kuala Lumpur.
Menurutnya aktiviti Hiking mendaki Maragang Hill agak mencabar namun memberi keseronokan dan kepuasan terpancar dengan senyuman para peserta (ahli keluarga) yang terdiri daripada 12 dewasa bersama 2 orang kanak-kanak bertolak dari Rondonon ke Maragang Hill dengan ketinggian 2,232 meter dari aras laut dan sampai ke Hill Registration Centre pada jam 2.30 pagi, memulakan pendakian pada 4.30 pagi dan sampai ke puncak pada jam 5.30 pagi.
“Aktiviti ini agak mencabar namun seronok memberi pengalaman baru kepada kami”, tambah Hamdy mengakhiri perbualan dengan penulis.



