Felsie Joy Pillin
KOTA KINABALU: Bermula dengan persoalan yang sering bermain di fikiran sejak di bangku sekolah menengah, mengapa Sabah yang kaya dengan hasil bumi dan budaya masih ketinggalan dalam arus pembangunan, kini menjadi titik tolak kepada perjuangan seorang anak muda, Felsie Joy Pillin, dalam memperjuangkan hak rakyat negeri itu.
Felsie, yang mula aktif dalam dunia aktivisme sejak 2013 melalui United Varsity Students of Borneo (UVSB) di bawah naungan Borneo Heritage Foundation (BHF), mengakui penyertaannya membuka mata terhadap realiti sebenar kehidupan rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Ketika turun padang dan berdialog bersama masyarakat serta rakan mahasiswa lain, saya sedar bahawa perubahan tidak akan berlaku hanya dengan harapan. Ia memerlukan keberanian untuk bertindak,” katanya
Menurut Felsie, pengalaman selama bergiat dalam gerakan mahasiswa telah membentuk dirinya untuk lebih memahami nilai kejujuran, kesetiaan terhadap negeri dan keperluan memperjuangkan hak secara berprinsip.
Kini, perjuangan yang bermula di medan aktivisme diteruskan dalam arena politik melalui penyertaannya dalam Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
“Sebagai sebahagian daripada perjuangan STAR, saya bertekad memastikan suara rakyat Sabah terus didengari dan hak negeri ini dipertahankan,” ujarnya.
Bagi Felsie, perjuangan tersebut bukan soal jawatan atau kedudukan, tetapi tanggungjawab moral sebagai anak jati Sabah untuk memastikan generasi akan datang menikmati keadilan dan kemakmuran yang sewajarnya.
“Perjuangan ini adalah amanah yang harus diteruskan demi masa depan Sabah,” tegasnya.



