Dr.Mohd Sobri -gambar facebook
SEORANG Doktor yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, meluahkan rasa risau dan kecewa behubung sikap segelintir rakyat dan pemimpin negara ini dalam mendepani pandemik Covid-19.
Doktor Mohamad Sobri Mohamad Saupi dalam satu catatan yang dimuat naik di laman facebook miliknya, tampak kecewa dengan situasi terkini covid-19.
![](https://www.borneodailybulletin.com/wp-content/uploads/2021/01/IMG-20210109-WA0014-1024x811.jpg)
“Andai kata benarlah arahan PKP semula minggu depan, kita semua pasrah sajalah. Jangan fikir periuk nasi lagi. Ni semua salah kita, Allah dah hantar peringatan kepada kita tapi kita langsung tak ambil pengajaran.
“Gelombang kedua Mac tahun lepas: Orang politik bagi kerjasama. Orang awam bagi kerjasama. Frontliner bekerja sungguh-sungguh.
“Kita berjaya buktikan kepada seluruh dunia kita kawal wabak ini. Orang luar puji kita. UK, China bagi anugerah dengan Ketua Pengarah Kesihatan kita. Doktor gigi dari Kanada buat video pasal kita. Singapura pun tabik dengan kita.
“Tapi kejayaan tu tak lama. Kita ego. Kita rasa kita berjaya tumpas sebab kita. Kita lupa semuanya kuasa Allah SWT. Kita lupa Allah SWT buat semua ni untuk kita kembali kepada-Nya.
“Lalu kita pun kembali kepada perangai lama kita. Sombong. Tak ikut arahan. Tak ikut kata wahyu. Maksiat bermaharajalela semula. Arak berleluasa semula. Takut kita nak bertegas dengan gagasan kafirun padahal Allah SWT tunjuk dah banyak kes kemalangan dan maut akibat arak.
“Kita luluskan program hiburan sebab ikut logik kita, tak ada hiburan maka ekonomi tak jalan. Sampai Miss Plus World pun kita reda.
“Pemilik kilang dengan perangai lamanya, buang sisa dalam sungai. Belum lagi perangai rakus mengaut sumber alam seperti mineral dan pokok secara berlebihan. Ternyata penyakit “wahan” lebih parah dari penyakit dari Wuhan.
“Kemuncaknya bila masing-masing mahu berebut kuasa, orang dari serata negara berkumpul, segala SOP tak dipedulikan.
“Begitu juga sikap endah tak endah bila perkumpulan keluarga waktu perayaan dan hujung tahun.
“Gelombang ketiga : Pemimpin sibuk berebut kuasa. Majoriti orang awam pula dah tak peduli. Tinggal staff-staff KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA berjuang bermati-matian.
“Mereka dah keletihan tuan-tuan. Pusat kuarantin dan hospital untuk risiko rendah terpaksa dibuka merata-rata. Malah tahap kawalan pesakit di hospital terpaksa direndahkan kerana mereka tak mampu menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai.
“Janganlah bagi alasan kami rela kena COVID daripada mati kebuluran. Fikir-fikirlah tentang frontliner yang bersusah-payah berjuang sekarang ini. Mari kita sama-sama muhasabah diri, moga-moga kita kembali kepada-Nya.,” luah Dr. Mohd Sobri.