Ajak ibu bersiar-siar sebelum ditinggalkan di rumah orang tua

Home Luar Negara Ajak ibu bersiar-siar sebelum ditinggalkan di rumah orang tua
Ajak ibu bersiar-siar sebelum ditinggalkan di rumah orang tua

Gambar: TRIMAH ketika ditemui di rumah penjagaan Husnul Khatimah, Malang, Jawa Timur. – KOMPAS.COM

MALANG: Seorang ibu boleh membesarkan seramai 10 anak, namun, 10 anak belum tentu dapat membela seorang wanita bergelar ibu. 

Itu adalah kenyataan pahit yang terpaksa ditelan oleh seorang wanita warga emas apabila ditinggalkan oleh anak-anaknya di Rumah Penjagaan Griya Lansia Husnul Khotimah di Kecamatan Wajak, Malang, sejak 27 Oktober lalu. 

Trimah, 69, yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah, berkata, anak-anaknya langsung tidak memberitahu akan menempatkan dirinya di rumah penjagaan tersebut, lapor Kompas.com. 

Kata Trimah, anak-anaknya hanya mengajak dirinya bersiar-siar pada hari tersebut. 

Ketika tiba di rumah penjagaan itu, Trimah berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan hatinya amat kecewa kerana terpaksa mengikut kehendak ketiga-tiga anaknya itu. 

“Anak-anak pesan supaya saya berhati-hati dan terus bersabar,” luahnya ketika mengenang semula waktu dirinya dihantar ke tempat tersebut. 

Trimah mempunyai dua anak perempuan dan seorang lelaki yang tinggal di Jakarta dan Pekalongan, Jawa Tengah. 

Meskipun kecewa dengan keputusan anak-anaknya itu, sebagai seorang ibu dia tetap mendoakan yang terbaik buat mereka. 

“Saya doakan mereka supaya dipanjangkan umur, diluaskan rezeki serta dipermudahkan segala urusan.Mudah-mudahan mereka masih ingat mempunyai seorang ibu,” titipnya. –UTUSAN MALAYSIA