GAMBAR HIASAN…Salah satu premis perniagan yang diusahakan oleh warga asing di negeri ini yang menyimpan minuman berbungkus yang terdedah matahari terik
RANAU: Pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Kesihatan digesa mengambil tindakan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi terhadap peniaga yang didapati menyimpan dan menjual air minuman berbungkus di kawasan terdedah kepada cahaya matahari, kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar garis panduan keselamatan makanan malah berisiko menjejaskan kesihatan pengguna.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin Budin berkata, amalan menyimpan stok air minuman termasuk air mineral pelbagai jenama di luar premis perniagaan atau di kawasan terbuka yang terdedah kepada sinaran matahari dari pagi hingga petang semakin berleluasa di Daerah Ranau.
“Ini bukan isu kecil. Kita bercakap tentang barangan guna segera yang diminum setiap hari oleh orang awam.
“Air minuman yang terdedah kepada haba melampau boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di laman Facebook.

Gambar hiasan
Menurut beliau, pemerhatian di beberapa kawasan termasuk tepi jalan Lohan, bulatan pusingan berhampiran Kampung Bongkud, Lohan, Kampung Kilimu serta beberapa premis lain di sekitar Ranau mendapati terdapat peniaga yang secara terbuka menyusun stok air minuman di luar bangunan tanpa perlindungan daripada cahaya matahari secara langsung.
Beliau turut menggesa Majlis Daerah Ranau (MDR) dan Pejabat Kesihatan Daerah Ranau supaya memperketat pemantauan serta tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap premis yang ingkar, termasuk mengeluarkan kompaun, notis amaran atau menggantung lesen perniagaan sekiranya perlu.
“Penguatkuasaan perlu konsisten dan adil
“Jangan tunggu laporan penyakit atau insiden kesihatan berlaku, barulah mahu bertindak,” tegasnya.
Nordin berkata, secara umum masyarakat sedia maklum bahawa pendedahan air minuman dalam botol plastik kepada haba dan cahaya matahari boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya seperti antimony dan BPA, bergantung kepada jenis plastik yang digunakan.

Salah satu premis perniagaan di Kampung Bongkud, Ranau, didapati menyimpan minuman berbungkus di luar premis yang terdedah kepada cahaya matahari, walaupun ditutup menggunakan kanvas berwarna biru.
“Pengambilan air yang terjejas secara berterusan bukan sahaja menurunkan kualiti rasa dan bau air, malah berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan seperti gangguan hormon, masalah hati dan buah pinggang, serta berpotensi meningkatkan risiko penyakit tertentu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyimpanan minuman di bawah cahaya matahari secara langsung jelas melanggar amalan keselamatan makanan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak berkuasa menjalankan operasi pemeriksaan bersepadu secara berkala, khususnya terhadap premis perniagaan yang didakwa gagal mematuhi standard penyimpanan barangan makanan dan minuman.
“Sebagai pengguna, kami hanya mahukan satu perkara, keselamatan dan kesihatan orang ramai diutamakan
“Undang-undang ada, garis panduan ada, sekarang yang diperlukan hanyalah tindakan tegas,” tambahnya.



