Para sukarelawan UPSI dan UMS Bersama para peserta program itu
NABAWAN: Seramai 31 orang sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dari dua Institusi Pengajian Tinggi menyelami kehidupan anak-anak kampung yang jauh di pedalaman Sabah dalam Program JIWA 3.0 yang diadakan di sini baru-baru ini.
Sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu diketuai oleh Ak Syaiffudinsah bin Awang Ku Zainuddin (UMS) dan Fendi Kamilis (UPSI).
Dalam Program JIWA 3.0, para mahasiswa berganding bahu menyuntik semangat baharu kepada komuniti pedalaman SK Kuala Salong dengan satu matlamat iaitu ingin mengubah kehidupan masyarakat setempat.
Menurut Syaiffudinsah, Program JIWA 3.0 yang berlangsung di sini bukan sekadar membawa ilmu dan bantuan, tetapi turut mengukir kenangan yang sukar dilupakan.
Fendi pula berkata, program kali ini memfokuskan enam tonggak utama pillar iaitu Pendidikan, Transformasi Digital, Kesihatan, Perpaduan, Keusahawanan dan Ketahanan Iklim.
Guru Besar SK Kuala Salong, Pitoh @ Lies bin Anguyong sangat berterima kasih kerana sekolah tersebut dipilih sebagai destinasi program tersebut pada kali ini.
“Dalam program ini, para sukarelawan melaksanakan aktiviti seperti melukis mural yang penuh warna, projek berkebun bagi mewujudkan persekitaran hijau, serta melakukan pengajaran bagi subjek Bahasa English, Sains dan Matematik.
“Aktiviti ini bukan sahaja mencantikkan sekolah, malah membangkitkan semangat murid pedalaman untuk terus berusaha menimba ilmu dalam suasana yang kondusif dan ceria,” katanya.
Beliau berkata, program seperti ini bukan sahaja memberikan ruang kepada murid-murid di sekolah pedalaman untuk mengalami suasana pembelajaran yang berimpak melalui aktiviti menghiburkan, tetapi juga memberikan mereka inspirasi dan semangat untuk menurut jejak langkah para sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UMS dan UPSI, untuk menimba ilmu di menara gading pada masa akan datang.
Penolong Kanan Pentadbiran SK Kuala Salong, Peter Marllone Petrus menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program JIWA 3.0, lebih-lebih lagi kepada para sukarelawan.

Aminuddin bergambar bersama Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran SK. Kuala Salong, Nabawan
Menurut beliau, usaha gigih para sukarelawan dalam memastikan semua aktiviti yang dirancang berjaya dilaksanakan meskipun menghadapi pelbagai cabaran di sekolah pedalaman seperti masalah capaian talian Internet dan bekalan elektrik dan air.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perpisahan dan Pelancaran Bulan Kebangsaan di Dewan Terbuka SK Kuala Salong yang dikelolakan oleh para sukarelawan dan dihadiri semua guru, murid-murid dan para penduduk Kampung Balantos dan sekitarnya.
Dalam pada itu, Fendi berkata, di sebalik gelak tawa dan senyuman anak-anak di SK Kuala Salong, Nabawan, tersembunyi satu kisah yang meruntun hati.
“Detik yang paling menyentuh hati berlaku melibatkan kisah seorang sukarelawan istimewa saudara Aminuddin Al-Hafiz bin Ismahisham berasal Kota Bahru, Kelantan, yang juga mahasiswa UPSI.
“Beliau seorang OKU, bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Demi menjayakan program ini, beliau sanggup mengharungi cabaran yang tidak ramai mampu hadapi.
“Laluan ke sekolah dan rumah panjang Kampung Balantos memerlukan menyeberangi sebuah jambatan sempit dan tinggi. Tanpa sekelumit keluhan, beliau mengesot perlahan-lahan di atas jambatan, hanya beralaskan kedua-dua tangannya, semata-mata untuk bersama rakan-rakan menghulur bakti,” katanya.
Tambahnya, air mata para sukarelawan dan penduduk kampung berlenangan melihat ketabahan itu kerana dalam keletihan, beliau tetap mengukir senyuman dan berkata, “Kekurangan yang ada pada diri ini bukan alasan untuk berhenti membantu komuniti. Kalau saya boleh, semua orang pun boleh. Jangan pernah berhenti berjuang.”
Syaiffudinsah menambah, program ini turut diserikan dengan aktiviti merewang dan silang budaya bersama masyarakat rumah panjang Kampung Balantos.
Dalam acara itu, katanya, para sukarelawan berpeluang merasai sendiri budaya tradisional kaum Murut, di samping mempromosikan tarikan pelancongan Air Terjun Kabulongou, Nabawan.
Bagi penduduk Kampung Balantos, Daerah Kecil Pagalungan, kehadiran sukarelawan bukan sahaja membawa ilmu, malah membina jambatan hati yang menghubungkan dunia luar dengan dunia pedalaman dalam satu semangat perpaduan yang tulus.
Inilah bukti bahawa semangat dan kemanusiaan mampu mengatasi segala halangan tanpa mengira latar belakang, dan bahawa kasih sayang antara manusia tidak pernah mengenal batas.



