TURUN PADANG BUNG..Semasa melawat Loji lawatan air di Jempangah Beaufort baru baru ini
Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU : Kekeruhan air mentah ekoran dari pencemaran di sungai Padas dimana tahap kekeruhanya terlalu tinggi untuk diproses menyebabkan sering berlakunya gangguan pemprosesan air di Loji rawatan Air Jempangah Beaufort selain faktor banjir yang sering berlaku di sungai Padas antara punca kerosakan Pum Air di LRA berkenaan.
Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ekoran dari itu purata bulanan LRA tergendala sebanyak dua hingga enam kali sebulan turut menjadi faktor kepada gangguan loji terlibat.
“Air terawat di Beaufort dibekalkan dari tiga buah LRA iaitu Beaufort Satu (I) 30 MLD; Beaufort Dua (II) 30 MLD dan Limbawang 15 MLD dari sumber air mentah Sungai Padas.
“Kerosakan peralatan mekanikal (pum), filter dan sebagainya disebabkan oleh kekerapan insiden kekeruhan air yang tinggi menyebabkan tanah dan pasir terkumpul dimuka sauk ekoran kekerapan kejadian banjir di Sungai Padas turut menjadi punca kepada gangguan bekalan air bersih di Beaufort,”katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) yang menyatakan ingin menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bagi mencari punca ketiadaan air yang sering berlaku di daerah berkenaan.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, permintaan pelanggan secara keseluruhan di daerah itu adalah 27.5 MLD dengan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) sebanyak 65 peratus.
Katanya, bagi menampung permintaan ini, LRA Beaufort satu (I) dan Beaufort Dua (II) mengeluarkan air terawatt keseluruhan sebanyak 50 MLD sahaja.
“Justeru itu, beberapa langkah dan cadangan penyelesaian diambil antaranya membina takungan air mentah bagi mengatasi masalah kekeruhan, banjir dan kemarau disebabkan bekalan air mentah yang stabil.
Menurut Bung untuk jangka panjang , kertas cadangan Kementerian Kerja Raya bagi mencari pendekatan baharu dalam menangani isu bekalan air di Sabah telah pun diluluskan oleh kabinet baru baru ini , dan tindakan susulan akan dilaksanakan bagi membaiki serta menaiktaraf sistem bekalan air di negeri ini
“Kita turut bercadang membina tangki pra-mendapan untuk LRA Beaufort Satu dan Dua selain menggunakan bahan kimia yang boleh merawat kekeruhan air mentah yang tinggi bagi mengatasi masalah kekeruhan,”katanya.
Dalam pada itu, Bung berkata, pihaknya turut bercadang mengubahsuai muka sauk pada LRA 1 bagi mengatasi kerosakan disebabkan banjir termasuk menyediakan stok alat ganti bagi mengatasi kerosakan peralatan loji.
“Selain dari cadangan ini, pihak Jabatan Air juga turut membuat penghantaran air terawatt di beberapa kawasan yang terjejas,”katanya.