SIDANG MEDIA…. Dr Fary (kiri) bersama Ismaidi pada sidang media di Bilik Mesyuarat PKOB, Wisma Perbadanan Labuan, pada Selasa.
LABUAN: Jawatan Kuasa Pusat Operasi Bencana (PKOB), Wilayah Persekutuan Labuan telah menetapkan setiap rumah akan mendapat 5 keping topeng muka yang diagihkan secara berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, topeng muka berkenaan hanya diagihkan kepada ketua isi rumah sahaja dan bukannya kepada setiap isi rumah.
“ Buat masa ini kita agihkan kepada ketua isi rumah atas faktor ketua rumah sahaja yang akan dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting termasuk bagi tujuan membeli barang keperluan di pasar” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Wisma Perbadanan mLabuan, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah dan Timbalan Komander PKOB yang juga Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Ismaidi Ismail.
Dr. Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, berkata sehingga kini sebanyak 93,175 daripada 104,000 keping topeng muka sudahpun dihantar terus oleh petugas Perbadanan Labuan ke rumah penduduk kampung dan juga taman-taman perumahan.
Manakala selebihnya (10,825 keping) akan diagihkan secara berperingkat-peringkat oleh petugas Perbadanan Labuan.
“Kepada mereka yang belum menerima harap dapat bersabar, kita sedang berusaha untuk mendapatkan 50,000 keping lagi yang kini sedang dalam proses penghantaran” katanya.
Menyentuh nmengenai bantuan Insentif Wilayah Cakna yang di selaraskan oleh Perbadanan Labuan, beliau berkata sehingga hari ini seramai 687 penerima yang terdiri daripada penjaja dan peniaga kecil, pemandu teksi, pemilik bas awam dan pengusaha Bagang yang terkesan dengan COVID 19 telahpun menerima bantuan secara One Off sebanyak RM500.00 seorang membabitkan kos keseluruhan RM343,500.00.
Beliau berkata, Perbadanan Labuan telah menerima seramai 1,078 permohonan, bagaimanapun setakat ini hanya 687 pemohon telah diluluskan dan dibayar, manakala selebih belum dapat diluluskan atas beberapa sebab antaranya tidak mempunyai akaun bank dan tindakan penyelesaian bayaran bantuan terpaksa diserahkan secara tunai” katanya.
“Selain itu terdapat juga pemohon mengemukakan akaun bank yang tidak aktif dan tindakan penyelesaian Perbadanan Labuan terpaksa menghubungi penerima bantuan untuk mengemukakan semula akan bank yang aktif” katanya.
Sementara itu, Perbadanan Labuan juga sudah mengagihkan sebanyak 979 kit makanan yang diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui Insentif Wilayah Cakna.
Dalam perkembangan yang sama katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menyediakan ‘Whatsapp Pertiwi’ bagi memudahkan penduduk di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendapatkan bantuan kit makanan.
“Untuk warga Labuan mereka boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat di talian 087-408603,087-408601 dan 087-408758” katanya.
TAMAT



