PANDU LALU….:Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman menyerahkan buku teks kepada penjaga secara pandu lalu.
LABUAN : Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) telah mengadakan pengagihan buku teks secara pandu lalu, baru-baru ini.
Program yang diadakan buat julung kali itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada warga setempat khususnya ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka di sekolah tersebut.
Lebih 300 ibu bapa dan penjaga hadir dalam sesi pengagihan buku teks secara pandu lalu yang diadakan selama 3 hari bermula pada 3 Februari dan berakhir pada 5 Februari lalu.
Program ini merupakan usaha barisan pentadbir sekolah dan guru-guru SMKRR bagi memudahkan murid mendapatkan buku teks.
Pengetua sekolah, Ustaz Wan Azman Wan Awang berkata, walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan aplikasi buku teks digital dalam memastikan kelangsungan Pengajaran dan Pembelajaran namun terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa dan murid itu sendiri.

BUKU TEKS….Penolong Kanan HEM, Marziati Mardan (dua kiri) dan Penyelaras Program, Juraidah Jaffar (dua kanan) bersama-sama Guru SPBT dan Guru Kelas
Katanya, hasil maklum balas murid, pihak sekolah mendapati bahawa terdapat segelintir murid berkongsi peranti dengan ibu bapa yang bekerja dan tiada akses internet di kawasan tempat tinggal mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihak sekolah berusaha menjalankan pengagihan buku teks secara pandu lalu dan mematuhi SOP.
Ustaz Wan Azman juga berharap agar para murid dapat memanfaatkan sepenuhnya buku teks yang telah dipinjamkan oleh pihak sekolah dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah dan menjadikan buku teks bahan bacaan untuk mengisi masa lapang.
Tambah beliau, murid-murid perlu mengingatkan diri mereka bahawa walaupun mereka melaksanakan pembelajaran di rumah tetapi penglibatan mereka dalam penghantaran tugasan yang diberikan oleh guru, turut dikira sebagai kehadiran dan dicatat dalam rekod sekolah.
Oleh itu besarlah harapan pengetua sekolah ini agar murid-murid dapat membahagikan masa mereka sebaik-baiknya.
Program yang dilaksanakan ini juga dilihat dapat mewujudkan sikap keprihatinan dan bekerjasama serta dapat mengeratkan silaturahim antara para guru dan ibu bapa.
“Sekolah dan ibu bapa perlu menjalinkan kerjasama erat dalam memastikan murid-murid dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dengan selesa.
“Semoga segala usaha ini dapat membantu murid agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran dan semoga pendamik COVID 19 ini segera berakhir,”kata Ustaz Wan Azman.
Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran, Sahnudin Ariffin, Penolong Kanan HEM, Ustazah Marziati Mardan dan Penolong Kanan Kokurikulum, Subari Dwar serta Penyelaras Program, Juraidah Jaffar.